Pelakon Intan Ladyana mengakui rasa berdebar untuk disatukan sebagai suami isteri bersama pasangannya, Harris Alif yang dijadualkan bakal berlangsung Jumaat ini.
Hampir setahun menjalinkan hubungan, majlis akad nikah bintang drama Bougainvillea itu bakal dijalankan di pejabat Agama Islam dengan hanya membabitkan ahli keluarga terdekat sahaja.
Perkara tersebut adalah sebagai mematuhi SOP yang ditetapkan menerusi syarat pernikahan sepanjang musim Covid-19 ini.
“Jika tiada aral saya dan Harris akan bernikah minggu ini. Alhamdulillah persiapan kebanyakannya sudah siap, cumanya dalam keadaan sekarang ini, contohnya dengan kes covid 19 makin meningkat setiap hari.
“Jadi agak susah untuk membuat perancangan atau meletakkan satu tarikh untuk majlis.
“Harapnya tiada sebarang perubahan saat akhir dan semoga ia berjalan dengan lancar. Insya-Allah, doakan kami berdua,” katanya bakal menyarungkan busana perkahwinan rekaan, Dato Ruiffai.
Meski sibuk dengan persiapan menjelang detik bergelar raja sehari, Intan masih berkesempatan melakukan satu usaha murni, iaitu menghulurkan sumbangan kepada komuniti ibu tunggal yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Inisiatif itu dilakukan Intan atau nama sebenarnya, Intan Nurladyana Mohamat Yahaya, bersempena menzahirkan rasa syukur diatas pelantikan beliau sebagai duta produk kesihatan dan kecantikan, Seri Lady.
“Dalam rezeki saya ada rezeki orang lain. Siapa sangka dalam kesibukan kerja dan membuat persiapan perkahwinan, saya dilamar pula menjadi duta produk Seri Lady.
“Jadi saya terfikir apa salahnya jika saya infaqkan sedikit rezeki yang Allah SWT beri untuk dikongsi bersama golongan yang memerlukan. Semoga kehidupan dan perkahwinan saya memperoleh keberkatan. Amin…
“Inilah yang membuatkan saya dan pihak Seri Lady terpanggil untuk memberi sumbangan berupa produk dan wang tunai untuk komuniti ibu tunggal yang terpilih. Mereka ini antara yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
“Saya sendiri dibesarkan oleh seorang ibu tunggal. Saya nampak macam mana ibu saya struggle untuk membesarkan kami tiga beradik. Bagaimana ibu bahagikan masa untuk keluarga dan pada masa sama bekerja demi kelangsungan hidup. Jadi saya faham masalah yang dihadapi oleh kebanyakkan ibu tunggal. Dikesempatan ini saya cuba untuk membantu mereka sedikit sebanyak yang saya mampu,” katanya.
Intan turut meluahkan rasa terharunya apabila pihak Seri Lady, bukan saja mempercayainya untuk menggalas tugas sebagai duta kepada jenama berkenaan, malah amat mendukung usahanya untuk sama-sama menjayakan majlis Kunjungan Silaturahim Seri Lady dan Duta Intan Ladyana Menyantuni Ibu Tunggal.
Menurut Pengasas Seri Lady, Puan Juzailah Shariff, jasa ibunya membesarkan dia dan adik-beradik sehingga mencapai ke tahap hari ini tanpa figura seorang ayah disisi tidak mampu di balas dengan wang ringgit.
“Sama seperti Intan, saya nampak kepayahan Ummi saya membesarkan kami adik-beradik yang lain tanpa seorang suami di sisi. Kehidupan yang lebih baik kami miliki hari ini, segalanya adalah atas usaha dan pengorbanan ummi.
“Kalau bukan kerana virus Covid-19 pun, kehidupan ibu tunggal sememangnya sudah cukup mencabar dalam memegang peranan ibu dan ayah untuk membesarkan anak-anak. Apa lagi dalam keadaan sekarang ini, hilang punca pendapatan. Justeru itu kami amat berbesar hati dapat memberi sedikit sumbangan kepada mereka.
“Saya juga ingin ucapkan tahniah kepada Intan diatas perlantikan sebagai duta Seri Lady. Orangnya cantik, personaliti juga menyenangkan dan bebas gosip, membuatkan saya yakin Intan mampu menggalas tugas beliau dengan baik,” katanya.
Sementara itu, bercakap mengenai persiapan perkahwinan pelakon yang kembali hangat menerusi drama Bougainvillea (TV3) dan terbaharu, Hari Kita Jatuh Cinta (Awesome TV), mengakui debar untuk disatukan sebagai suami isteri bersama pasangannya, Harris Alif, Jumaat ini, selepas hampir setahun menjalinkan hubungan.
Majlis pernikahan yang bakal berlangsung di pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Kuala Lumpur, hanya membabitkan ahli keluarga terdekat sahaja, bagi menghormati SOP yang ditetapkan menerusi syarat pernikahan sepanjang musim Covid-19 ini.
“Jika tiada aral saya dan Harris akan bernikah minggu ini. Alhamdulillah persiapan kebanyakkannya sudah siap, cumanya dalam keadaan sekarang ini contohnya dengan kes covid 19 makin meningkat setiap hari jadi agak susah untuk membuat perancangan atau meletakkan satu tarikh untuk majlis. Harapnya tiada sebarang perubahan saat akhir dan semoga ia berjalan dengan lancar. Insya Allah doakan kami berdua,” katanya bakal menyarungkan busana perkahwinan rekaan, Dato Ruiffai.
Sama-sama kita doakan semoga majlis nikah Intan Laadyana dan Harris Alif berlangsung dengan lancar. Amin.