Kumpulan Kobis Pedas yang dianggotai oleh Misha Omar dan Tauke Jambu berjaya dinobatkan sebagai pemenang bagi program #JuaraParodi yang berlangsung di Teater Shah Alam, malam tadi.
Membawa pulang hadiah kemenangan berupa wang tunai bernilai RM300,000 dan trofi, Kobis Pedas turut memenangi wang tunai bernilai RM25,000 menerusi Anugerah Pilihan Penonton yang ditaja oleh Aura White.
Kumpulan Abang Face yang dianggotai oleh Shuk SYJ, Joey dan Sam Bunkface pula berjaya menduduki tempat naib juara. Datuk Hattan dan Ajak Shiro yang mewakili kumpulan Juri pula berjaya mendapat tempat ketiga.
Kumpulan Slumber Blur yang dianggotai oleh Mark Adam dan Shuib Sepahtu serta kumpulan Right Handed yang dianggotai oleh Waris, Abam dan Fad Bocey masing-masing mendapat tempat keempat dan kelima.
Finalis yang mendapat tempat naib juara sehingga tempat kelima berjaya membawa pulang hadiah berupa wang tunai bernilai RM20,000.
Seterusnya, Kategori Persembahan Terbaik dan Lirik Terbaik pula dimenangi kumpulan Abang Face. Kategori Vokal Terbaik pula digondol oleh kumpulan Juri. Pemenang setiap kategori masing-masing meraih wang tunai RM10,000.
Konsert akhir #JuaraParodi dibuka oleh persembahan nyanyian oleh pemenang Gegar Vaganza musim kedua, Siti Nordiana bersama Lan Kristal yang menyampaikan lagu Paling Comel.
Juara Parodi yang berkonsepkan realiti komedi muzik menampilkan gabungan penyanyi popular dan pelawak dalam satu kumpulan dan memerlukan para peserta menukar lirik lagu kepada komedi dan parodi mengikut genre yang ditetapkan.
#JuaraParodi diterajui oleh Najip Ali dan Dina Nadzir selaku pengacara manakala Datuk Zainal Abidin dan Afdlin Shauki bertindak selaku juri tetap. Datuk AC Mizal pula bertindak selaku juri jemputan bagi konsert akhir.
#JuaraParodi bersiaran secara langsung di Teater Shah Alam, pada setiap Jumaat, jam 10.00 malam di saluran Astro Warna (132) dan Astro Mustika HD (134) bermula 6 November 2015.
Layari www.juaraparodi.com.my untuk informasi lanjut mengenai #JuaraParodi.
Sumber: Astro Gempak