Kumpulan vokal baru, Hayad berkata persepsi segelintir pihak yang mendakwa penggiat muzik generasi baru sebagai ‘artis kosong’ kerana tiada asas dan ilmu muzik yang kukuh adalah tanggapan yang kurang bersesuaian.
Anggotanya Muhamad Zulfadhli Mohd Zaihan atau Fadhli, 24, berkata, majoriti penyanyi dan penggiat muzik baru hadir ke persada seni dengan ilmu muzik dan tidak hanya bersandarkan kreativiti dan populariti semata-mata.
“Memang tidak dinafikan, ada sebilangan penyanyi baru yang kurang ilmu muzik atau tiada asas langsung tetapi sekadar mencuba nasib tetapi sebahagian besar daripada kami belajar muzik dan menghasilkan karya sendiri. Sebagai kumpulan vokal, kami mempersiapkan diri dengan kelas vokal selain ilmu mencipta lagu. Kami tidak ceburi bidang ini secara melulu tanpa persiapan asas walaupun kurang pengalaman.”
Seorang lagi ahli Hayad iaitu Mohammed Rafiq Abu Bakar atau Rafiq, 29, berkata, pandangan itu bersifat subjektif kerana setiap penggiat muzik berkarya secara berbeza dan tiada satu ketetapan yang boleh menentukan sama ada sesuatu karya muzik itu berkualiti atau sebaliknya.
“Karya seni termasuk muzik adalah subjektif. Tidak wajar timbul pandangan mendakwa pemuzik generasi baru ‘kosong’ dan tiada asas muzik kerana penerimaan pendengar terhadap kreativiti yang dicurahkan pengkarya dalam muzik adalah subjektif. Mungkin kita generasi baru kurang pengalaman tetapi itu tidak bermakna kita menghasilkan karya secara ala kadar. Saya percaya setiap pengkarya berusaha sebaik mungkin ketika menghasilkan muzik mereka, cuma bergantung kepada penerimaan sahaja,†jelasnya.
Mengenai kemunculan Hayad dengan genre R&B ketika muzik band sedang mendominasi industri, Fadhli berkata, dia percaya kelainan itu dapat memberikan variasi pada dunia muzik tanah air.
“Tidak timbul soal genre muzik kami relevan atau tidak dengan perkembangan muzik sekarang. Saya percaya selera muzik ibarat kitaran roda mungkin hari ini orang sedang seronok dengan muzik band tetapi esok lusa kita tidak pasti.
“Saya rasa tidak rugi mencuba tampilkan kelainan kerana ia akan memberikan variasi pada industri dan pilihan kepada pendengar. Lagi pun, sudah terlalu lama kumpulan vokal tidak menghiasi pentas muzik tanah air.”
Kumpulan yang ditubuhkan pada 2009 ini mempertaruhkan lagu pertama berjudul Melodi yang sedang diputarkan di corong-corong radio. – Mstar Online
Di Portal Murai pula, ada artikel tentang Hayad yang katanya aneh bila ramai yang mengatakan mereka adalah gay.
Sungguhpun masih baru, Hayad yang bernaung di bawah pengurusan Aryuna Entertainment mengakui sudah bersiap sedia berhadapan dengan gosip serta pelbagai dugaan sepertimana yang ditempuhi anak seni yang lain.
Malah, Hayad yang dianggotai Rafiq Bakar, 28, dan Fadly Zailan,24, rela seandainya kisah peribadi mereka diperjudikan segelintir pihak. Bagaimanapun, kedua-dua jejaka muda ini tidak sanggup bergambar tanpa pakaian hanya semata-mata untuk tatapan peminat.
“Sebelum ini, kami sudah bergerak aktif secara indie. Sekarang ini, baru kami nekad dan memberanikan diri ke arah mainstream dan telah bersedia seratus-peratus untuk tempuhi dugaan dan gosip hidup anak seni.
“Soal bergambar dengan tidak berbaju, kami tidak akan kata setuju tetapi sebaiknya kami akan berbincang terlebih dulu dengan pihak yang menawarkannya.”
Menyentuh tentang penggunaan nama Hayad, Rafiq memberitahu, asalnya nama kumpulan mereka itu diambil sempena nama adiknya, Dayah yang diterbalikkan ejaannya.
“Nama Hayad itu sebenarnya adalah Dayah. Dayah pula adalah adik saya dan kami memilih untuk menggunakan namanya kerana dia cukup memahami kehendak kami berdua. Selain itu, dia juga adalah pencipta lagu kami iaitu Terbaik Untukku, Teman dan Pilihanku sepertimana yang disiarkan di Youtube. Pemilihan namanya ini adalah satu penghormatan buat dirinya.
“Apapun, Dayah bukanlah kekasih Fadlysepertimana anggapan segelintir pihak. Saya tahu mereka sangat rapat dan ada juga yang terfikir mungkinkah Fadly bakal menjadi adik ipar saya. Namun, ia tidak bermaksud mereka benar-benar sedang berkekasih.”
Dalam pada itu, Fadly yang pernah menyertai uji bakat Akademi Fantasia 4 (AF4) mengakui pernah dituduh menjalinkan hubungan songsang dengan Rafiq yang dianggapnya sebagai abang sendiri.
“Kami memang rapat. Keluarga kami pun kenal siapa kami. Soal hubungan songsang itu, memang ada orang yang pernah bertanyakan hal itu kepada kami.
“Kami tidak kisah apa orang kata kerana kami tahu siapa diri kami. Setakat ini, kami berdua masih single dan kami juga sudah bersedia seandainya satu hari nanti kami berpisah disebabkan pergaduhan.
“Kami sendiri sudah menandatangani satu perjanjian berhubung isu bergaduh. Kami mula kenal pada 2006 dan kemudian membuat keputusan untuk bersatu dalam satu kumpulan secara rasmi pada 2009.”
Kesemua lagu ini adalah hasil ciptaan mereka sendiri dan pihak media turut diberikan penghormatan untuk memilih lagu yang bakal dijadikan lagu single pertama.
Berikut adalah lagu yang terkandung dalam album ini.
1. Melodi
2. Janji
3. Luar Biasa
4. Benar-Benar Cinta
5. Jawapan
6. Separuh Dariku