[dropcap]G[/dropcap]abungan empat beradik pikat hati juri melalui persembahan mereka dalam kategori vokal berkumpulan menjadi juara “ Konsert Boom Muzik Ekstra “ yang disiarkan secara langsung menerusi saluran TV1 dari Auditorium Perdana, Angkasapuri, jam 9.00 malam. Tahniah buat 4 Stars yang telah memenangis wang tunai RM 20 ribu berserta sijil dan trofi. Tempat kedua dimenangi oleh Return Crew dari kategori Tarian Berkumpulan manakala tempat ketiga dimenangi oleh Stop Reverse Crew kategori Tarian Berkumpulan.
[pullquote align=”right”]Konsert Boom Muzik Ekstra adalah sebuah rancangan muzikal terbitan Radio Televisyen Malaysia ( RTM ) yang bersiaran secara langsung pada setiap hari Rabu, jam 1.05 tengahari menerusi saluran TVi, 180 Astro.[/pullquote]
Rancangan ini telah diilhamkan sebagai sebuah rancangan muzikal bersifat platform ekspresi kreatif golongan muda bersama Orkestra RTM dengan tujuan menjadikannya salah satu rancangan tonggak TVi selain menghidangkan hiburan ringkas kepada penonton sambil menikmati makan tengah hari.
8 finalis bakal berentap di pentas Konsert Boom Muzik Ekstra antaranya Sam Saiful ( Vokal ), Dila Suraizat ( Vokal ), Fariz Hilmi ( Silap Mata ), Stop Reverse Crew ( Tarian Berkumpulan ), Mohd Faiz ( Vokal ), 4 Stars ( Vokal Berkumpulan ), Azrul Effendi ( Muzik Seruling Bambu ) dan Return Crew ( Tarian Berkumpulan ). Hadiah RM 20 ribu menjadi taruhan buat para peserta yang berjaya menjadi juara, naib juara bernilai RM 15 ribu, manakala tempat ketiga bernilai RM 8 ribu serta 5 sagu hati yang bernilai RM 2 ribu.
Konsert Boom Muzik Ekstra dihadiri oleh YBHG Dato’ Kamaruddin Siaraf Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Dan Multimedia serta Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Dato’ Norhyati Ismail. Seramai 700 tetamu yang hadir di antaranya para penyokong serta penonton.
Selain itu konsert yang bersiaran selama 2 jam itu dikendalikan oleh empat orang pengacara berbakat Muaz, Aliff Satar, Haniz Zalika dan Felisya. Turut menampilkan persembahan dari artis tempatan seperti Tomok, Azlan The Typewriter, Erni, Aisha Sofea, Rehana dan DJ Fuzz.
TVi telah dilancarkan semula dengan jenama baharu pada 10 April 2011 oleh YB Menteri KPKK di Sarawak dengan imej jendela Sabah Sarawak berciri remaja. Oleh itu, Muzik Ekstra adalah usaha terbaharu Seksyen Penerbitan TV RTM yang berkeyakinan akan menjadi salah sebuah rancangan tonggak di TVi bagi memenuhi strategi baharu TVi menempatkan diri di hati penonton sasaran, iaitu golongan remaja.
Dengan menjadikan TVi sebagai medium melestarikan bakat, kreativiti dan karya cipta anak muda Malaysia, konsep rancangan ialah dari generasi muda untuk generasi muda. Mengenengahkan bakat-bakat vokal, silap mata, tarian, bermain alat muzik dan komedi, rancangan ini dikendalikan oleh pengacara tetap, Hanis Zalikha selain ditemani oleh beberapa pengacara jemputan dan juga ikon-ikon TVi.
Muzik Ekstra merupakan rancangan berbentuk carta, dan diadili 100% oleh para penonton menerusi undian facebook dan sms. Bakat-bakat yang digilap oleh Muzik Ekstra adalah merupakan bekas peserta rancangan-rancangan realiti terbitan RTM yang diberi peluang kedua, dan juga bakat-bakat daripada media-media baharu seperti facebook dan youtube.
Pada musim pertama ini, sebanyak 39 bakat telah dipertontonkan pada peringkat carta iaitu 20 bakat vokal dan 19 bakat lain-lainnya. Daripada keseluruhan jumlah tersebut, hanya 12 bakat EPOP (ekstra popular) yang berjaya ke peringkat separuh akhir. Konsert Boom Muzik Ekstra membuka 8 tempat untuk para peserta yang akan diadili 50% juri dan 50% undian facebook dan sms. Peringkat akhir yang bertemakan YUPPIE ini bakal memperlihatkan bakat vokal solo dan berkumpulan, tarian berkumpulan, silap mata dan bermain alat muzik.