13 Episod Kuiz 1 Hati Cinta Negara Di TV1
Mungkin ramai di kalangan kita yang malu untuk mengakui hampir terlupa dengan sejarah dan pengetahuan am berkaitan negara yang sebelum ini begitu diterapkan di sekolah. Berapa ramai yang masih ingat secara mendalam tentang tokoh-tokoh pejuang dan kemerdekaan negara? Dan berapa ramai pula yang masih mengingati fakta dan tarikh-tarikh penting berkaitan negara?
Justeru peluang diberikan Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk sama-sama menyuntik dan memupuk semangat cintakan menerusi sebuah program candawara terbaharu bertajuk Kuiz 1 Hati Cinta Negara tidak seharusnya dilepaskan begitu sahaja kerana secara tidak langsung, fakta yang ingin disampaikan menerusi visual lebih dekat di hati penonton malahan kepada golongan bergelar pelajar juga.
Bakal menemui penonton mulai 2 Disember 2011, setiap Jumaat, jam 10.00 pagi menerusi TV1, sepanjang 13 episod siarannya, program ini menampilkan pengacara Luqman Hakim dan Siti Nazira di studio bersama peserta manakala Wan Sharmila pula bertindak sebagai pengacara lokasi.
Menariknya, markah peserta akan dinilai oleh Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Ramlah Adam yang menjadi juri pertandingan ini yang menyaksikan setiap episod 2 kumpulan di mana setiap kumpulan diangotai oleh 3 orang peserta bakal berentap untuk mara ke perigkat seterusnya.
Pemenang dari episod pertama hingga lapan akan berentap di peringkat separuh akhir yang dijadualkan pada episod 9, 10, 11 dan 12. Dua kumpulan yang mendapat peratusan markah tertinggi pada episod separuh akhir layak ke pusingan akhir yang menawarkan hadiah utama.
Program ini dipecahkan kepada 3 segmen utama iaitu Segmen Pertama (Huraikan) yang melibatkan seorang juri jemputan berkuasa menentukan markah peserta di akhir rancangan. Markah akan diberikan berdasarkan isi dan fakta yang dicatat oleh peserta. Soalan dalam segmen ini bertemakan tokoh dan pengetahuan am. Setiap peserta akan ditunjukkan gambar tokoh atau mercu tanda dan akan menghuraikan apa yang mereka tahu berkenaan visual yang tertera di skrin TV. Markah akan diberi mengikut jumlah fakta yang disebut oleh peserta. Satu fakta akan diberi 2 markah. Setiap peserta akan diberi masa 2 minit untuk menjawab soalan.
Segmen Kedua (Soalan Berangkai Kacau Minda) pula melibatkan soalan berangkai. Soalan berangkai bermaksud satu fakta akan dibacakan sebelum soalan dikemukakan di mana soalan tersebut tidak ada kaitan dengan fakta yang diberikan oleh pengacara. Setiap kumpulan akan disoal mengikut giliran.
Tibalah giliran kemuncaknya di mana Segmen Ketiga (Segmen Cepat Jawab), soalan berkisar kepada Pengetahuan Am/Sejarah akan disoal dalam segmen ini. Peserta akan berebut menjawab soalan dengan yang mana kumpulan yang paling cepat menekan butang loceng akan dipilih.
Mengetahui tentang sejarah negara sendiri sememangnya satu tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan apatahlagi di kalangan anak muda yang bakal jadi pemimpin kelak. Justeru pelbagai pendekatan dan langkah dilaksanakan dalam usaha memupuk semangat cintakan negara yang aman damai meskipun menjalani kehidupan di kalangan berbilang bangsa.
Saksikan Kuiz 1 Hati Cinta Negara hanya di TV1.