in

KU ZAHIR KU AHMAD Music Director

KU ZAHIR KU AHMAD
Pengarah Muzik

Lahir di Alor Star, Kedah pada 25 Jun 1963, Zahir merupakan anak sulung daripada lapan orang adik-beradik. Mewarisi darah seni ayahnya, Ku Ahmad Ku Mustaffa, seorang pemuzik dan jurulatih silat tersohor di negeri Kedah.

Zahir menceburkan diri dalam bidang seni muzik secara sepenuh masa agak lewat,  iaitu ketika berusia 25 tahun. Mula berkhidmat sebagai pemuzik di Kompleks Budaya Negara (kini Istana Budaya) pada 13 Mac 1990 sehingga ke hari ini. Dalam meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang muzik, beliau kerap kali mengikuti seminar, bengkel dan kursus-kursus berkaitan muzik dan rakaman.

Beliau  pernah diberi tanggungjawab sebagai Pengarah Muzik dalam pementasan teater tempatan seperti Akulah Perempuan Itu, Bangsawan Tengku Anum dan Mencari Juwita. Selain diberi tanggungjawab sebagai Pengarah Muzik untuk 49th Asia Pasific Film Festival di Fukuoka, Jepun (2004), Zahir turut diberi kepercayaan menjadi Pengarah Muzik untuk persembahan sempena Persidangan Negara-negara Berkecuali (NAM) di Kuala Lumpur, Konsert Paluan Nakasari (2005) dan persembahan Istamuzika di World Gamelan Festival di Terengganu (2008).

Zahir pernah juga terlibat bersama komposer-komposer terkenal seperti Datuk Suhaimi Mohd Zain (Pak Ngah), Omar Taib, S. Atan, Ramli M.S dan Ruslan Imam dalam pembikinan album artis-artis popular tempatan. Pernah muncul sebagai johan Sayembara Mencipta Lagu Puisi ke VI (2004) dan tempat ketiga dalam Sayembara Mencipta Lagu Puisi ke VII (2005).

Sering juga mengikuti rombongan kebudayaan untuk persembahan di luar negara seperti Eropah, India, China dan Timur Tengah. Dalam pertandingan muzik peringkat dunia, Zahir turut serta bersama Istamuzika mewakili Malaysia ke Los Angeles untuk penyertaan World Championships of Performing Arts (2008) dengan kemenangan 3 pingat emas, 2 perak serta 3 anugerah Champion of the World.

Selain bertindak sebagai guru gamelan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan sekolah-sekolah sekitar Kuala Lumpur, Zahir turut berperanan sebagai tenaga pengajar dan penyelaras Program Asuhan Seni, Istana Budaya dalam bidang muzik gamelan untuk pendedahan awal muzik gamelan kepada anak-anak muda.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Budiey Belanja Tengok Wayang & Sambut Tahun Baru 2009

Iwan Raja Dangdut