in ,

KRU STUDIOS Jawab Isu Peserta ROCKERS Tarik Diri

Pelbagai persiapan telah dilakukan bagi memastikan program ini menjadi tarikan ramai terutamanya golongan-golongan muda. Dengan adanya tenaga professional seperti Datuk Ramli Sarip sebagai ‘Otai’, Soffi Jikan sebagai ‘Abang Long’ dan Aznan Alias sebagai pengarah muzik. Pengalaman luas dan pengaruh besar mereka bertiga dalam industri muzik dan hiburan tanah air bukan sahaja mampu membantu dan memberi motivasi kepada para peserta untuk mempertingkatkan bakat mereka malah sebagai salah seorang ikon muzik yang paling berjaya di Malaysia.

STATUS TERKINI PROGAM TV REALITI ROCKERS DI BAWAH PRODUKSI KRU STUDIOS

Sekumpulan peserta telah dipilih selepas proses ujibakat dilakukan seharian pada 3 Oktober lalu. Setiap peserta telah diberi taklimat mengenai terma dan syarat program realiti Rockers serta hadiah yang bakal dibawa pulang oleh mereka di penghujung program ini, iaitu wang tunai RM50,000, rakaman single di Los Angeles, sebuah gitar Music Man dan kontrak artis rakaman di bawah naungan KRU Music. Hadiah-hadiah ini tidak pernah lagi ditawarkan dimana-mana program realiti di Malaysia. Kelima-lima finalis juga akan menandatangani kontrak artis rakaman di bawah naungan KRU Music.

Peserta-peserta telah ditempatkan di dua buah pangsapuri di Cyberjaya berdekatan dengan studio rakaman dengan memberi kemudahan penginapan, pengangkutan dan makan minum. Dengan itu, perancangan yang dijadualkan oleh pihak produksi dimulakan dan penggambaran berjalan dengan lancar.

Datuk Ramli Sarip berkata, “Tenaga pengajar di dalam program realiti Rockers ini mempunyai gabungan yang berpengalaman dalam bidang masing-masing. Mereka bakal meneraju program ini ketahap yang setanding dengan program-program realiti yang ada.” Beliau menambah, “Production team sangat pantas menjalankan kerja-kerja produksi. Team ini memahami apa yang saya hendak capai untuk menemui satu bintang rock baru yang bakal dijulang diakhir rancangan ini.”

Setelah beberapa hari menjalani aktiviti-aktiviti penggambaran, beberapa pelajar telah berubah hati dan ingin menarik diri dari program ini. Terdapat juga beberapa peserta yang inginkan elaun mingguan. Setelah pihak produksi dan pihak pengurusan berbincang, mereka bersetuju untuk memberi elaun mingguan sepanjang mereka masih lagi bertanding dalam program ini. Akan tetapi, peserta-peserta yang ingin menarik diri tetap dengan pendirian mereka untuk meninggalkan program ini.

Perjalanan untuk mencari bintang rock tersohor di Malaysia tetap diteruskan. Pihak produksi berjaya mencari beberapa lagi peserta yang menunjukkan minat yang mendalam bagi seni muzik rock. Segala aktiviti dan penggambaran program ini diteruskan seperti biasa.

Salah seorang tenaga pengajar, Abang Long, iaitu Soffi Jikan berkata,

“Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Program realiti Rockers ini boleh diibaratkan sebagai sebuah kem bina semangat yang juga merupakan platform yang terbaik bagi mereka yang bercita-cita untuk menjadi seorang bintang Rock. Pelbagai cabaran diberikan untuk memastikan peserta-peserta boleh melaluinya dan memahami dengan pengajaran-pengajaran yang diberikan. Jika kita bersatu dengan pasukan kita, kita boleh mengharungi cabaran tersebut dengan baik. Jika kita berpecah, kita akan rasa kesusahan mengharungi cabaran tersebut bersendirian. Jika kita rasa kem ini sangat susah untuk kita lalui, bermakna kem ini bukanlah untuk kita buat masa ini.”

Tidak dinafikan, program Rockers ini adalah berbeza dengan mana – mana program realiti yang lain. Berasaskan genre rock, sememangnya kaedah pembelajaran dan pembesaran seseorang untuk menjadi bintang rock tidak mudah. Ciri-ciri lazim seperti berjiwa kental, keupayaan mengawal tekanan dan liku-liku hidup yang penuh asam garam harus ada untuk mencapai dan memegang status bintang rock tersohor.

Pengarah Muzik bagi program Rockers, iaitu Aznan Alias, berkata,

“Rancangan Rockers adalah satu tapak permulaan bagi penyanyi-penyanyi rock yang ingin menempah nama di dalam dunia hiburan rock. Kebanyakkan artis-artis rock mahupun artis – artis yang berjaya, seperti Datuk Ramli Sarip, telah melalui kaedah-kaedah pembelajaran yang sama dimana ianya melalui pengalaman hidup, keinginan serta inisiatif untuk mempelajari menjadi seorang artis. Kebanyakan ini tidak diajar di sekolah muzik. Contohnya, berkomunikasi dengan band yang mengiringi persembahan sewaktu persembahan, menggunakan pentas dengan baik, berinteraksi dengan penonton dan menyanyi lagu-lagu yang diolah semula. Semua kaedah-kaedah ini akan diterapkan di dalam program ini untuk mengasah lagi bakat-bakat peserta sehingga mereka mahir. Jika ada apa kekakangan yang berlaku di dalam rancangan ini, saya dan pihak produksi akan membuat sehabis baik untuk memastikan rancangan ini diteruskan demi kebaikan industri rock tanahair.”

Akhir kata daripada ‘Otai’ kepada para peserta Rockers “Ambil dan gunakan platform pentas ini sebaik mungkin untuk mengejar impian dan cita-cita anda. Buat yang terbaik, beri yang terbaik, pentaskan persembahan yang tulus dengan penuh tanggungjawab”

Episod pertama bagi journal Rockers akan disiarkan pada 23 November 2015, setiap hari Isnin hingga Jumaat pada jam 8:30 malam manakala konsert Pentas Panas pertama akan disiarkan pada 29 November setiap hari Ahad pada jam 8.30 malam di HyppSensasi, saluran 116 HyppTV serta di aplikasi mudah alih HyppTV Everywhere. Konsert mingguan ‘Rockers’ akan dihoskan oleh Hunny Madu manakala jurnal harian akan dihoskan oleh Myo.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Koleksi Gambar Majlis Resepsi Asyraf Khalid & Tya di Hotel Majestic

Soseh Soseh di Sebalik Tabir Anugerah EMA 2015