Sebagai tanda simpati dan empati, penyanyi Krisdayanti bakal mendedikasikan sebuah lagu tribute khas untuk tragedi pesawat MH370. Lagu tersebut akan dinyanyikan sewaktu persembahan beliau sempena Minggu Setiausaha yang akan berlangsung pada 17 April 2014, bertempat di PICC Putrajaya. Krisdayanti berharap agar teman rapatnya Dato’ Siti Nurhaliza atau penyanyi Amy Search juga merakam semula lagu tersebut.
“Sempena persembahan Minggu Setiausaha ini, saya akan mendedikasikan sebuah lagu tribute buat MH370. Saya juga berharap artis Malaysia seperti Dato’ Siti Nurhaliza atau Amy Search juga dapat merakamkan semula lagu tribute yang saya akan nyanyikan itu nanti.”
Krisdayanti cukup berbesar hati dipilih untuk menjayakan minggu setiausaha di PICC untuk tahun ini. Persembahannya selama dua jam itu sekaligus menjadi kemunculan pertama beliau di Malaysia untuk tahun 2014 selepas kali terakhir membuat persembahan di tanah air pada tahun 2009.
Selain lagu tribute MH370, Krisdayanti juga akan mendendang deretan lagu hitsnya seperti ‘Menghitung Hari’, ‘Cobalah Untuk Setia’, ‘Pilihlah Aku’, ‘Aku Wanita Biasa’ dan Mencintaimu. Serta lagu Cinta (duet dengan Melly Goeslaw), Tanpamu (lagu yang diuatkan dalam album KDCT) juga lagu zapin, beberapa lagu Inggeris dan lagu baru petikan dari album terbarunya, ‘Persembahan Ratu Cinta’.
14 Tahun Menggunakan Perkhidmatan MAS
[dropcap]T[/dropcap]ernyata ibu kepada empat cahaya mata ini turut terkesan dengan insiden yang menggemparkan seluruh dunia ini. Apatah lagi penerbangan MAS seringkali menjadi perkhidmatan pilihannya untuk ke luar negara. Malahan kata KD, saat kerajaan mengumumkan berita itu, sama seperti ahli keluarga para penumpang yang terlibat, beliau juga turut merasa kehilangan.
“Setiap kali mahu ke luar negara, saya memilih menggunakan penerbangan MAS. Sudah 14 tahun saya memilih perkhidmatan penerbangan itu. Baru-baru ini saya ke Australia juga dengan MAS. Saat Perdana Menteri Malaysia mengumumkan tentang berita itu, ia cukup menyedihkan dan sebagai ibu kepada empat orang anak, saya juga turut merasa kehilangan. Apatahlagi seluruh ahli keluarga para penumpang yang terlibat.”
“Pada 8 Mac lalu, kebetulan saya ke luar negara dengan penerbangan MAS. Kemudian suami saya memberitahu mengenai berita pesawat MAS hilang. Saya fikirkan hanya pesawat yang kecil. Tetapi rupanya pesawat besar dan ada 239 orang penumpang. Saya sangat terkejut dan ia satu berita yang sangat menyedihkan. Justeru saya mengambil kesempatan mewakili teman-teman artis juga kerajaan Indonesia mengucapkan takziah dan menyampaikan rasa dukacita kami kepada kerajaan Malaysia. Semoga segala usaha mencari dipermudahkan.”
Penyanyi yang cukup popular dengan lagu ‘Mengitung Hari’ ini ditemui pada sidang media Minggu Setiausaha ‘Secretaries Week @ PICC 2014’, bertempat di Pusat konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), petang semalam. Pada sidang media itu KD turut mendedangkan single barunya berjudul ‘Bertubi-tubi’.
Pada persembahan tersebut penyanyi Awi Rafael turut diundang memeriahkan lagi acara pada hari tersebut. Di samping itu, pelawak yang semakin mencipta nama, Kuah Jenhan dipertanggungjawabkan sebagai hos.
Tiket-tiket berharga RM5,880 hingga RM8,880 (setiap meja untuk 10 orang tetamu). Untuk tempahan, boleh hubungi talian 03-8887 6000 atau layari www.ticketpro.com.my. – Malaysian Digest