PERASAAN terluka dan sakit hati Anang Hermansyah terhadap Kris Dayanti atau KD, 34, sudah tidak dapat dibendung lagi. Sedemikian parah keadaan sehingga ia mendorong penyanyi dan pencipta lagu itu bertindak menceraikan KD tiga hari sebelum umat Islam menyambut puasa. Menurut lelaki berusia 40 tahun itu, semuanya sudah selesai termasuk pembahagian harta serta hak penjagaan anak.
“Saya memang sudah bercerai secara sah dengan KD tiga hari sebelum puasa,” katanya.
Mengakui mereka sudah tidak sehaluan, namun ramai percaya berdasarkan kenyataan anak kepada pasangan ini, Titania Aurelie Nurhermansyah dan Azriel Akbar Hermansyah, Anang menceraikan KD selepas mendapati isterinya yang jelita itu berlaku curang di belakangnya.
Malahan, KD melonjak namanya di Malaysia menerusi lagu Menghitung Hari itu pernah memperkenalkan teman lelakinya kepada anak-anaknya itu. Tatania, anak sulung KD sendiri membuat pengakuan berhubung kecurangan ibunya selain menjadi saksi di mahkamah bagi menyokong tindakan bapanya menceraikan KD.
“Mimi (panggilan nama KD dikalangan keluarga) ajak pak cik masuk ke bilik. Sementara, kami sedang berenang di kolam,” katanya dalam rancangan Kasak Kusuk SCTV yang disiarkan kelmarin.
Siapakah jejaka yang menjadi orang ketiga dan bertanggungjawab di atas keruntuhan rumah tangga penyanyi I’m Sorry Good Bye ini?
Masih menurut anak-anak KD, lelaki itu adalah pengusaha kaya berasal Timor Leste. Adik kepada penyanyi genit Yuni Shara ini kerap memanggil teman lelakinya itu dengan panggilan Amor atau maksudnya cinta.
“Mimi sudah berbohong kepada papa,” Aurelie berkata dengan nada sebak.
Beberapa kenyataan lain yang dikeluarkan anaknya terutama Azriel membayangkan teman baik KD seperti Titi DJ dan Ruth Sahanaya terbabit bersubahat kerana merahsiakan kecurangan KD dari pengetahuan Anang.
“Saya berasa marah dengan Mimi dan teman-temannya yang memburuk-burukkan papa,” kata Azriel.
Sudah sebulan lalu, Anang dan kedua-dua anaknya tinggal di sebuah ruko di kawasan Radio Dalam, Jakarta Selatan yang turut menjadi lokasi studio rakaman KD Production, manakala KD tinggal di rumah. Dari perbincangan eksklusif dengan program Kasak Kusuk SCTV, terlihat raut penyesalan dan kecewa di wajah Anang. Bapa penyayang ini cuba menutupi luka yang tercalar di hatinya dengan ungkapan bijak.
“Sehingga kini, saya dan anak-anak cuba untuk kuatkan semangat menghadapi saat getir ini,” katanya.
Difahamkan, ini bukanlah perceraian pertama mereka. Sebelum ini KD pernah diceraikan Anang ekoran masalah yang masih berkisarkan kecurangan KD. Mungkin, emosi KD tidak begitu terkesan dengan penceraian itu sebagaimana Anang dan anak-anaknya kerana dia memang mahu ‘dibebaskan.’ Malah, wanita yang pernah membintangi beberapa filem itu seakan tidak peduli dengan perasaan keluarganya. Dia kini berada di Timor Leste untuk mengadakan persembahan, walaupun dua anaknya menganggap itu cuma alasan diberikan KD untuk bertemu dengan kekasih hati. Ramai yang meramalkan, kerjaya, masa depan dan kehidupan KD akan musnah jika hal ini dibiarkan. KD dan Anang mendirikan rumah tangga 13 tahun lalu. Namun pada April 2003, perkahwinan mereka bergolak seketika apabila Krisdayanti digosipkan mempunyai hubungan sulit dengan gitaris Tohpati.
Kemudian pada Ogos 2005, muncul pula berita kononnya Aurelie adalah anak dari hasil hubungannya dengan Ari Sigit. Manakala, pada Mei 2007 muncul satu lagi gosip apabila Krisdayanti ditemui peminat sedang menikmati makan tengah hari dengan seorang pengusaha di Jalan Orchard, Singapura. Selain, dia pernah dikatakan mempunyai hubungan sulit dengan Dicky Wahyudi. Sekadar imbasan, kakak kepada penyanyi bersuara lantang ini, Yuni Shara, juga bercerai dengan suaminya Henry Siahan, sekitar Jun lalu. [sumber]