KREW SYAHADAH LIMA BERKONGSI PENGALAMAN DI UZBEKISTAN (SIARAN 21 OGOS HINGGA 31 OGOS 2009)
Selama 40 hari bermula 14 April hingga 22 Mei 2009 lalu, krew penggambaran Syahadah Musim 5 yang diketuai penerbitnya, Haji Murad Mohamad Safie telah menjelajah ke 4 buah wilayah menarik di Uzbekistan termasuklah menyusuri wilayah Tashkent, Samarkand, Bukhara dan Shahrisadz.
Pengisian padat siri penjelajahan ke empat wilayah ini mula disiarkan dalam bahasa Melayu pada 21 Ogos lalu hingga 31 Ogos kelak, jam 6.30 petang menerusi TV1 dan siaran bahasa Inggeris, jam 4.30 petang di TV2, menyaksikan krew Syahadah Lima berkongsi pengalaman yang sangat berharga dengan penonton apatahlagi mereka mendapat sokongan dan kerjasama yang sangat baik dari Wisma Putra dan juga Kedutaan Uzbekistan di Malaysia.
Sepanjang tempoh siaran, krew Syahadah Musim 5 pastinya ingin berkongsi pengalaman berharga diperolehi mereka ketika berada di empat wilayah itu yang menarik dan unik dipaparkan kepada penonton termasuklah cuba meneroka kejayaan wanita Islam Uzbekistan dengan melihat kegigihan dan pembangunan serta kejayaan wanita di sana selain melihat bagaimana Persatuan Wanita dapat membantu memajukan wanita-wanita Islam di Uzbekistan terutama di kawasan luar bandar.
Terdahulu mereka berkongsi sejarah Uzbekistan dengan menjejaki dan mengupas kegigihan serta menyelami penderitaan masyarakat Islam Uzbekistan ketika penjajahan Soviet selain melihat peninggalan kesan perang. Sejarah Islam di Uzbekistan juga mempamirkan kegemilangan dan kegigihan umat Islam juga sinar syahadah yang menyinar di Uzbekistan.
Syahadah kali ini juga berpeluang berkunjung ke kampung asal Ibn Sina, cendikiawan terbilang yang terletak di Afshona, Bukhara yang mengupas bagaimana Ibn Sina mengembangkan Ilmu Perubatan dan menjadi rujukan para pengamal perubatan di Uzbekistan pada masa kini.
Dari sudut pendidikan pula turut mempelihatkan usaha-usaha kerajaan negara Uzbekistan menjadikan penduduknya intelektual. Disamping pendidikan Formal turut diketengahkan usaha ke arah mengekalkan seni kreatif dikalangan generasi muda. Malah menariknya penonton pasti teruja dengan perkembangan Pendidikan Bahasa Melayu dikalangan mahasiswa di Uzbekistan.
Antara keistimewaan lain yang sebenarnya begitu menarik untuk di ketengahkan tentang masyarakat Uzbekistan melibatkan nilai kesenian dan ketelitian penghasilan produk kraftangan di mana penonton dibawakan ke Kompleks atau pusat sehenti yang menjadi tumpuan para pelukis seni dan produk-produk kesenian. Malah turut dipaparkan Seni Guntch iaitu seni ukiran pada bangunan-bangunan di Uzbekistan yang terkenal dan menjadi tumpuan dan menerima tempahan dari seluruh dunia. Begitu juga turut menjejaki pakar yang telah bertanggungjawab mereka bentuk Masjid Putrajaya dan Masjid KLIA.
Kesempatan yang ada juga digunakan memaparkan industri permaidani dan sutera tenunan tangan terhebat di Uzbekistan. Pastinya sesuatu yang mengujakan penonton apabila berpeluang mengenali masyarakat Islam etnik Urgut yang menjalankan kehidupan dan aktiviti-aktiviti harian mereka.
Destinasi menarik yang menjadi tumpuan pastinya apabila penonton dibawa menjelajah ke Kota Margilan, sebuah kota yang unik di Uzbekistan terutama dalam bidang pertanian dan menjadi pusat pertanian dan produk pertanian paling berkualiti di Uzbekistan.
Justeru usah lepaskan peluang menonton keindahan dan keistimewaan Uzbekistan yang disiarkan RTM pada 21 Ogos lalu hingga 31 Ogos kelak, jam 6.30 petang menerusi TV1 dan siaran bahasa Inggeris, jam 4.30 petang di TV2.