Program ini adalah inisiatif yang selaras dengan visi negara untuk membentuk masyarakat yang lebih berintegriti dan berpandukan ajaran Islam, dengan tujuan untuk menyemai nilai-nilai murni dan kerohanian di kalangan pelajar dan masyarakat umum.
Menurut Dr. Hazlin Anita Zainal Abidin, Koordinator Bidang Program Pengurusan Industri Kreatif, seruan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, telah memberikan ilham dan rasa tanggungjawab untuk mengisi sahsiah dan kerohanian pelajar sebagai khalifah di muka bumi. Beliau menekankan bahawa acara seperti ini sangat relevan dalam konteks masa kini, terutamanya bagi golongan remaja dan belia yang sering terdedah kepada pelbagai cabaran sosial dan moral. Dengan kemajuan teknologi yang pesat, gaya hidup berlandaskan Islam boleh disampaikan dengan lebih efektif melalui medium pendidikan digital, yang mampu menarik minat generasi Z secara khususnya.
Dr. Ahmad Kamal Basyah Sallehuddin, Ketua Pengajian Seni Liberal, turut berkongsi pandangan bahawa program seperti Jalan ke Jannah merupakan satu sumbangan penting daripada pihak Pengajian Seni Liberal dalam usaha mengajak masyarakat untuk lebih menghayati aktiviti-aktiviti spiritual. Program ini dirangka untuk menyentuh hati dan jiwa para peserta melalui perkongsian ilmu dan pengalaman daripada selebriti yang telah berhijrah serta penceramah selebriti yang berpengaruh dalam kalangan masyarakat.
Salah satu acara utama dalam program ini ialah Wacana: Tau Buat, Tau Taubat! yang akan menampilkan Nana Mahazan dan Ustaz Adnin Roslan sebagai panelis. Mereka akan berkongsi pengalaman dan pandangan mereka mengenai proses berhijrah dan kepentingan taubat dalam kehidupan seharian.
Selain itu, terdapat juga sesi Ceramah Islam dan Media Sosial yang akan disampaikan oleh Ustaz Dr. Ashraff Amirul, yang akan membincangkan bagaimana media sosial boleh digunakan sebagai platform untuk menyebarkan ajaran Islam secara positif dan berkesan.
Program Jalan ke Jannah juga akan menampilkan Pameran: Ilhami Illahi, sebuah pameran kreatif Islamiah yang bakal mempamerkan pelbagai produk seni berunsurkan Islam seperti busana, lirik-lirik lagu, nukilan puisi, dan seni tampak. Pameran ini bertujuan untuk memperlihatkan kekayaan dan keindahan seni Islam yang mampu memberikan inspirasi dan kesedaran kepada para pengunjung mengenai nilai-nilai keagamaan dan kerohanian.
Semua acara ini dijadualkan berlangsung pada 27 Jun 2024 di UiTM Puncak Perdana, bermula dari jam 10 pagi hingga 11 malam. Program ini bukan sahaja membuka ruang untuk pembelajaran dan refleksi diri, tetapi juga untuk mengukuhkan hubungan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat melalui aktiviti-aktiviti yang berteraskan nilai-nilai Islam.
KPSK terus komited untuk melahirkan graduan yang seimbang dan kompetitif di peringkat nasional dan global. Ini dicapai dengan memperkukuh hubungan strategik dengan alumni dan industri serta menyerlahkan potensi pelajar agar mereka mampu bersaing dalam industri kelak. Kemahiran insaniah yang diperolehi melalui program-program seperti ini adalah esensi penting bagi pelajar Pengajian Seni Liberal, agar bakat mereka diasah dengan sebaiknya dalam memastikan kelestarian kualiti graduan KPSK. Semua usaha ini adalah selaras dengan Pelan Strategik UiTM 2025, Ke Arah Globally Renowned University 2025.