Menurut laporan Mstar Online, penyanyi Aiman Tino memberitahu dia hilang keyakinan untuk membuat persembahan di atas pentas selepas mengalami masalah kesihatan baru-baru ini.
Aiman, 20, berkata, kotak suaranya turut terjejas membuatkan dia mengambil keputusan untuk berehat buat sementara waktu.
“Selepas jatuh sakit akhir bulan lalu berat badan saya susut dan kotak suara saya juga mengalami masalah. Sekarang doktor sedang memantau masalah kotak suara saya sama ada serius atau tidak.
“Sekarang saya tidak ada keyakinan dan menyanyi seperti dahulu, Insya-Allah saya bercuti lagi sebulan untuk kembalikan kesihatan saya seperti dahulu,” ujarnya kepada mStar Online.
Aiman mengalami sakit perut dan tonsil bengkak.
Pada 25 September lalu, Aiman Tino dimasukkan ke sebuah pusat perubatan swasta di Rawang selepas mengadu sakit dalam perut selain tonsil bengkak.
Penyanyi lagu Sesat Dalam Rindu ini juga mengakui kini lebih banyak menjaga pemakanan bagi mengelakkan sakit tersebut berulang.
“Dulu saya tak jaga makan sehingga terkena jangkitan kuman pada usus, sekarang doktor minta saya berhati-hati.
“Saya rasa seperti orang tua pula sebab tidak boleh makan sembarangan lagi.”
Sementara itu, Aiman berkata, dia dalam proses pembikinan lagu baharu yang bakal dilancarkan pada Disember depan.
Katanya, buat masa ini lagu ciptaan ibu bapanya itu masih belum mempunyai tajuk.
“Dalam pada berehat ini saya boleh buat persiapan untuk lagu baharu yang bakal dilancarkan sebulan lagi.
“Saya kena asah suara dahulu sebelum kembali menyanyi di pentas dengan lagu baharu nanti.”
Semoga Aiman cepat sembuh dan dapat buat show seperti biasa.