Kontrak penyanyi Haqiem Rusli bersama syarikat rakaman FMC Music berkemungkinan akan dibatalkan sekiranya masalah melibatkan penyanyi itu berulang selepas ini.
Eksekutif Pemasaran FMC Music, Sam Samin berkata, ini bukan kali pertama Haqiem menimbulkan masalah malah hasratnya untuk meninggalkan bidang seni pernah disuarakan sebanyak tiga kali sebelum ini.
“Sebelum ini kita sudah menegur dan menasihati dia agar tidak terburu-buru dalam buat sesuatu atau menulis di laman sosial kerana akibatnya akan membawa padah kepada dirinya sendiri.
“Dua kali sebelum ini dia pernah beritahu nak berhenti menyanyi… kali ketiga dia buat kenyataan di media sosial dan sekarang dia menerima kesannya.
Dengan apa yang terjadi kami berharap menjadi iktibar kepadanya dan sekiranya berulang lagi selepas ini kami tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas selain berkemungkinan menamatkan kontraknya,” kata Sam.
Sam berkata demikian ketika hadir pada sidang media melibatkan Haqiem Rusli bagi menjelaskan mengenai kontroversi melandanya sejak kebelakangan ini.
Pada sidang media itu, Haqiem tampil memohon maaf secara terbuka kepada semua pihak selain berjanji akan mendapatkan rawatan psikiatrik berhubung dakwaan masalah kemurungan dialaminya.
Dia turut menangis ketika memberikan kenyataan berhubung kontroversi yang berlaku.
Turut hadir pada sidang media itu adalah dua rakan artis bawah syarikat rakaman sama iaitu Ernie Zakri dan Wany Hasrita.
Dalam pada itu, Sam berkata, pihaknya memberi peluang kedua kepada Haqiem untuk memperbaiki kesilapannya kerana tidak mahu mensia-siakan bakat yang ada pada remaja berusia 20 tahun itu.
Kata Sam, apa yang berlaku bukanlah gimik sebaliknya ia berpunca daripada sikap Haqiem yang masih belum matang.
“Budak remaja ni biasalah… Lagi kita marah lagi dia nak buat walaupun macam-macam nasihat sudah diberi.
“Dia masih mentah dan populariti mendadak mungkin membuatkan dia terkejut sekaligus menambah tekanan kepada dirinya,” katanya.
Sementara itu, Sam berkata, kejadian itu juga membuatkan FMC Music akan lebih peka terhadap masalah dihadapi artis dibawah naungan mereka.
Sumber: Mstar Online