in

Program Simfoni Alam Konservasi Gajah

Mencabar. Itulah yang dapat digambarkan untuk program Simfoni Alam dengan tajuk “Konservasi Gajah” pada 27 Disember ini, pukul 2.00 petang di TV1.

Episod kali ini akan memaparkan tentang konflik antara gajah dan manusia di mana kehadiran gajah liar berhampiran penempatan manusia ini sering disalah tafsir. Hakikatnya, gajah-gajah ini tersepit di dalam konflik kepentingan yang rumit.

Paparan ‘Konservasi Gajah’ yang diterbitkan oleh Izwan Mohd. Mokhtar ini menjalani menggambaran di tiga buah negeri iaitu Pahang, Johor dan Terengganu selama tiga minggu. Episod ini memfokuskan peranan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah yang bertanggungjawab memindahkan gajah liar yang berkongsi habitat dengan manusia ke kawasan perlindungan hidupan liar, Taman Negara.

Operasi pemindahan gajah liar yang pertama di Malaysia telah dilaksanakan pada tahun 1974. Dengan cara ini, gajah-gajah liar yang semakin diancam kepupusan dapat diselamatkan dan bebas meneruskan kehidupannya di kawasan hutan yang jauh dari penempatan manusia.

Berkongsi pengalaman sewaktu penggambaran di Kampung Manchis, Bentong, Pahang, Izwan Mohd. Mokhtar mengakui pasukan penerbitan Simfoni Alam melalui satu pengalaman yang tidak mungkin dapat dilupakan di mana hampir setiap hari mereka perlu menjejak gajah-gajah liar dari awal pagi tanpa dapat meneka situasi yang bakal mereka tempuhi.

Menggunakan teknik ‘single camera’, pasukan penerbitan tidak mempunyai banyak pilihan dalam merancang shot kerana situasi sentiasa di luar jangkaan setiap hari. Proses pemindahan ini tidak semudah yang disangka. Kadangkala gajah liar yang telah ditemui tidak boleh ditangkap serta merta. Pasukan pemindahan perlu mengambil kira lokasi untuk menembak gajah liar supaya urusan pemindahan menjadi lebih mudah.

Perancangan untuk memindahkan gajah yang ditangkap juga kadangkala terpaksa ditangguhkan jika terdapat tanda-tanda kumpulan gajah liar yang lain masih berkeliaran di kawasan tersebut. Situasi ini akan membahayakan pasukan pemindahan.

Sewaktu berada di Pahang, pasukan pemindahan bersama pasukan penerbitan terpaksa dilencongkan ke negeri Johor untuk memindahkan gajah liar yang telah ditangkap di sana terlebih dahulu. Sekali lagi, keberanian pasukan penerbitan teruji apabila berhadapan dengan gajah liar seberat lebih 1 tan yang berjaya ditangkap di Felda Kahang Timur, Kluang, Johor.

Situasi yang tidak dijangka seperti ini membuatkan pasukan penerbitan harus sentiasa dalam keadaan bersedia. Selain itu, pasukan penerbitan juga melalui saat-saat manis apabila berpeluang merasai pengalaman menaiki lori bersama gajah denak dan melihat pelbagai kerenah denak ini sepanjang perjalanan dari Pahang ke Johor.

Kecekapan Unit Tangkapan Gajah dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan juga haris diberi pujian. Kemahiran dan pengalaman Mahout mengendalikan denak-denak mereka melancarkan lagi perjalanan operasi sukar ini. Interaksi dan belaian dengan denak masing-masing juga mencuri tumpuan lensa kamera di mana interaksi seperti ini mampu mengeratkan persefahaman di antara mamalia terbesar di daratan ini dengan manusia.

Memindahkan hidupan liar ke habitat semulajadi yang sesuai bukanlah satu penyiksaan kepada haiwan tersebut. Sebaliknya, pemindahan ini memungkinkan bilangan populasi haiwan yang hampir pupus seperti gajah ini bertambah pada masa akan datang. Banyak lagi kisah gajah yang ingin dikongsikan bersama penonton Simfoni Alam. Jangan lupa untuk menonton episod ‘Konservasi Gajah’ di TV1.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Puma By Rihanna Footwear’s New Colourways Released!

Nabila Huda Sah Bergelar Isteri Nikah Dengan Mohd Izwan