[dropcap]M[/dropcap]enyatukan empat penyanyi lelaki hebat seperti Ramli Sarip, Zamani Slam, Azlan The Typewriter dan Hafiz AF dalam “Konsert Suara Hati Daripada Lelaki Untuk Wanita” antara hadiah paling bermakna stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk penonton setia salurannya khas sempena sambutan Ulang Tahun Ke-67 penubuhannya pada 1 April lalu. Malah istimewa juga konsert ini juga turut bakal menghiburkan semua yang meraikan Hari Pekerja yang disambut tanggal 1 Mei depan.
[pullquote align=”right”]Konsert Suara Hati Daripada Lelaki Untuk Wanita Temukan Ramli Sarip, Zamani Slam, Azlan The Typewriter dan Hafiz AF Di TV2[/pullquote]
Antara tarikan dan keistimewaan tersendiri dalam “Konsert Suara Hati Daripada Lelaki Untuk Wanita” disiarkan pada 30 April 2013, jam 10.30 malam menerusi saluran TV2 ini kerana menampilkan persembahan khas daripada lelaki buat mereka yang bergelar wanita.
Konsert yang dirakam di hadapan penonton di Auditorium Perdana pada 10 April lalu ini buat julung kali diadakan dengan tema sedemikian sebagai kelainan kepada penonton setia saluran RTM. Menariknya hadir sama, Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Norhyati Ismail yang turut merasa dihargai sebagai wanita pada malam itu.
Konsert terbitan Khuzaimah Abd Aziz atau Oja dari Unit Hiburan TV ini tambah menarik dengan iringan Orkestra RTM pimpinan Jaafar Abdul Rahman Idris atau Jari yang menggubah semula susunan muzik lagu nyanyian artis terlibat supaya lebih segar.
Diiringi dengan 34 pemuzik Orkestra RTM, pentas konsert menyaksikan kemunculan Hafiz menyampaikan lagu Ku Akui dan disusuli dengan Zamani menyampaikan lagu Kembali Merindu. Suasana sudah mulai panas dengan kemunculan Azlan mendendangkan lagu popularnya Lagu Untukmu dan Ramli Sarip dengan lagu Teratai.
Selepas itu Azlan pula menyampaikan lagu yang menjadi siulan masa kini bertajuk Tanda Tanya. Menyedari peminat yang rata-ratanya wanita, dia meneruskan persembahan dengan lagu Jeritan Batinku yang disampaikan dengan penuh bertenaga.
Seterusnya, Azlan menjemput Zamani berduet menyanyikan lagu Malam Bulan Dipagar Bintang. Dengan vokal tersendiri Zamani kemudiannya mengambil giliran menyampaikan lagu Manisnya Rindu, lagu Jika Kau Rasa Getarnya dan lagu berhantunya Gerimis Mengundang. Lagu Nurkasih menjadi santapan terakhir peminat sebelum dia mengundur diri.
Hafiz yang mewakili artis generasi baru muncul menghiburkan penonton dengan lagu Bahagia Mu Deritaku dan Muara Hati. Namun ada momen indah turut ingin dikongsi bersama peminatnya apabila dia turut memberikan sejambak bunga kepada ibunya yang hadir sebagai tanda penghargaan dan kasih sayang buat insan yang melahirkan dan menjaganya selama ini.
Selepas itu siapa lagi yang dinantikan kalau bukan Ramli Sarip yang sentiasa tampil dengan cara tersendiri. Papa Rock ini mengalunkan lagu Wonderful Tonight yang ditujukan khas buat semua wanita yang hadir pada malam itu.
Kemudian berbekalkan gitar akustik, berhibur dengan lagu Doa Buat Kekasih dan Istilah Bercinta. Persembahan penutup menampilkan semua artis menyanyikan lagu Kamelia 2013 seterusnya mengakhiri rakaman selama dua jam setengah yang sangat menghiburkan.
Di samping berhibur dengan artis kesayangan anda, nantikan kemuculan gandingan tiga pengacara iaitu Shuib Sepah, Ajak dan Sharol Shiro cuba mencuit hati penonton dengan aksi menghiburkan mereka.