Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) dan Jabatan Kebudayaan Kesenian, Pelancongan dan Sukan akan mengadakan Konsert Suara Anak Malaysia pada Sabtu, 20 Oktober ini bertempat di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana Kuala Lumpur bermula jam 8.30 malam.
Konsert ini diadakan secara percuma di bawah program KL Rhythm Nitez anjuran ketiga-tiga pihak tersebut.
Konsert ini bakal menampilkan gabungan artis senior popular dan barisan artis terkenal masa kini seperti Datuk David Arumugam, Francisca Peter, Siti Nordiana, Syafiq Farhain, Bagio Damasutra, Yabang Khalifah, Suki Low dan Santesh.
“Untuk konsert ini, kita mahu berikan sesuatu kepada warga Kuala Lumpur secara percuma supaya mereka mempunyai aktiviti yang hendak dilakukan pada hujung minggu.
“Lagipun konsert secara langsung ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk ditonton, apatah lagi persembahan dengan iringan okestra,” – Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Khairul Anuar
Lebih menarik lagi, semua persembahan artis ketika konsert ini akan diiringi oleh Orkestra Kuala Lumpur dan artis budaya DBKL.
Penganjuran konsert ini bertujuan untuk menghiburkan orang ramai secara percuma serta memberi ruang kepada artis berbeza generasi bergabung membuat persembahan.
Ia merupakan siri ketiga program KL Rhythm Nitez yang mana acara serupa pernah diadakan pada Mac dan Ogos lalu.
Untuk maklumat lanjut mengenai konsert ini, sila hubungi SENIMAN pada talian 03-41055442 atau menerusi email [email protected].