Menerusi satu kenyataan, Yayasan Nurjiwa selaku penganjur konsert tersebut berlapang dada dengan teguran Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor agar konsert berkenaan ditunda.
Dalam pada itu, turut dijelaskan penganjuran konsert berkenaan bukan bermotifkan keuntungan atau perniagaan kerana Yayasan Nurjiwa adalah sebuah badan amal yang ditubuhkan sejak 2006.
“Yayasan Nurjiwa dan Siti Nurhaliza telah sering menyebut tujuan Konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza adalah untuk mengutip dana bagi menampung lima kluster kerja-kerja kebajikan seperti kebajikan, kemanusiaan, keagamaan, pendidikan dan bantuan khas Palestin,” tulis kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu lagi, pihak penganjur sudah membuat tempahan kepada pihak pengurusan stadium sejak awal 2023, namun, tarikh yang kosong hanyalah pada 9 Mac ini.
Dalam pada itu, Yayasan tersebut turut menjelaskan penundaan konsert berkenaan akan memberi kesan kepada objektif utama penganjuran untuk mengumpul dana kepada mangsa perang.
“Penundaan konsert itu akan beri implikasi yang besar kepada banyak pihak, khususnya bahagian produksi serta pengurusan Perbadanan Stadium Nasional.
“Bahkan, apa yang kami gusarkan sekiranya penundaan konsert dibuat, maka dana yang sewajarnya tidak dapat disalurkan dalam kadar segera kepada golongan yang sudah dikenal pasti sebagai penerima terutamanya mangsa perang di Palestin,” katanya.