Penganjur Konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza mengumumkan, tidak akan menunda acara konsert yang dijadual berlangsung pada 9 Mac depan kerana menyebabkan implikasi kepada banyak pihak, sekali gus memberi kesan kepada objektif utama penganjurannya, bagi mengumpul dana sumbangan kepada mangsa perang di Palestin.
Pengasasnya, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa mengeluarkan kenyataan menerusi Instagram Yayasan Nurjiwa selepas mendapat gesaan daripada Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor agar menunda tarikh penganjuran konsert itu bagi memberi penghormatan kepada kehadiran bulan Ramadan.
“Penundaan konsert itu akan beri implikasi yang besar kepada banyak pihak, khususnya bahagian produksi serta pengurusan Perbadanan Stadium Nasional.
“Bahkan, apa yang kami gusarkan sekiranya penundaan konsert dibuat, maka dana yang sewajarnya tidak dapat disalurkan dalam kadar segera kepada golongan yang sudah dikenal pasti sebagai penerima terutamanya mangsa perang di Palestin.
“Kita tak mampu untuk menunda bekalan makanan dan bahan asas untuk saudara kita di Palestin. Komitmen kami kepada mangsa-mangsa perang di Palestin perlu diteruskan sejak kami memulakannya pada Oktober lalu.
“Terlewat sehari dua sahaja, boleh mengundang malapetaka lain buat mereka. Oleh itu, Yayasan Nurjiwa berpendapat, ada baiknya konsert diteruskan demi untuk mencari dana,” katanya.
Tambah kenyataan yang dikeluarkan di Instagram Yayasan Nurjiwa, pihak penganjur sudah membuat tempahan kepada pihak pengurusan stadium sejak awal 2023, namun, tarikh yang ada, hanyalah pada 9 Mac ini.
“Kami di Yayasan Nurjiwa juga sudah diberitahu oleh pengurusan stadium bahawa 9 Mac sahaja, tarikh kosong yang ada untuk sepanjang 2024 yang boleh ditawarkan kepada kami.
“Untuk pengetahuan semua, pihak kami sudah mula membuat tempahan dengan pengurusan stadium sejak awal tahun lalu. Namun, tarikh yang sepatutnya tidak dapat kami laksanakan dan mohon penangguhan dengan mendapatkan tarikh baharu.
“Namun, memahami matlamat dan objektif utama penganjuran Konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza membuatkan kami mencapai keputusan secara konsesus untuk meneruskannya.
“Izinkan kami untuk sekali lagi menjelaskan Konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza bukan dianjurkan atas kepentingan perniagaan dan keuntungan. Yayasan Nurjiwa adalah sebuah badan amal yang ditubuhkan sejak tahun 2006,” katanya.
Yayasan Nurjiwa berharap, kenyataan ini dapat menjernihkan segala persoalan dan kegusaran semua pihak.
“Kami berharap dapat menjawab segala persoalan dan kegusaran semua pihak. Dalam masa sama, Yayasan Nurjiwa sekali lagi merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang sentiasa tidak pernah putus memberikan sokongan kepada segala kerja-kerja kebajikan dan kemanusiaan yang kami usahakan. Semoga Allah SWT merahmati kebaikan anda semua. Terima kasih,” katanya.