in

Konsert Seribu Warna Dato’ Siti Nurhaliza Hai-0

Semalam telah berlangsung satu majlis sidang media Konsert Seribu Warna – Dato’ Siti Nurhaliza. Konsert ini akan diadakan pada 14 November, pukul 8 malam di Stadium Malawati, Shah Alam. Di Konsert itu nanti, Siti juga mengundang artis di bawah SNP iaitu kakaknya, Siti Saida, adiknya, Siti Saerah dan kumpulan Coda untuk opening act.

DESAS-DESUS mengatakan Datuk Siti Nurhaliza Tarudin ditawarkan wang jutaan ringgit oleh syarikat Hai-O Marketing Sdn. Bhd., penganjur Konsert Seribu Warna dinafikan sekeras-kerasnya oleh Siti Nurhaliza. Diva popular ini setuju bukan sebab wang. Tawaran itu tidaklah mencecah sampai jutaan ringgit dan berapakah jumlahnya biarlah Siti sahaja yang tahu.

Yang pasti, isteri kepada ahli perniagaan Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa ini tidak sabar untuk menghiburkan 10,000 penonton termasuk 6,000 ahli Hai-O.

Oleh itu, Siti meuar-uarkan kepada para peminatnya yang bukan ahli Hai-O untuk mendapatkan tiket berharga RM60 yang dijual sebanyak 4,000 tiket itu.

“Saya menerima tawaran konsert ini pada pertengahan Mac lalu selepas ahli Hai-O sepakat untuk memilih saya sempena ulang tahun ke-17 Hai-O. Jadi, persembahan dalam ni agak berlainan daripada Konsert Eksklusif Satu dan lebih relaks. Persembahannya juga tidak lama dalam 90 minit sahaja dan saya akan mendendangkan sebanyak 13 buah lagu popular saya,”

Selain menyanyikan lagu-lagunya seperti ‘Di Taman Teman’, ‘Ku Percaya Ada Cinta’, ‘Ku Mahu’, Siti turut akan menyanyi secara trio dengan Saida dan Saerah serta menyanyi lagu ‘tibute’ dua penyanyi popular.

Dalam nada teruja, Siti menjelaskan dia sengaja mengajak artis SNP yang lain untuk memberikan pendedahan kepada mereka dengan harapan mereka akan bersedia membuat persembahan berskala besar.

Pengalaman dan tunjuk ajar yang mereka perolehi daripada Siti diharapkan akan dapat dimanfaatkan dengan baik oleh setiap artis supaya kemunculan mereka di ‘Konsert Seribu Warna’ mampu membuka mata peminat di luar sana.

Bercerita mengenai penampilannya agar bersesuaian dengan tema konsert yang santai dan relaks itu, khidmat pereka fesyen Hatta Dolmat akan digunakan agar menampakkan dirinya lebih ‘funky’, ‘ragged’ dan kontemporari.

Begitu juga dengan Saida dan Saerah, mereka berdua juga akan menggayakan pakaian rekaan pereka tersohor itu.

‘Seribu Warna’ simbolik kejayaan Hai-O

Menurut Siti, pemilihan tajuk konsert ‘Seribu Warna’ ini bertepatan dengan persembahan yang akan ditonjolkan pada malam itu selain simbolik pelbagai kejayaan, semangat dan kegigihan yang ditonjolkan oleh ahli-ahli Hai-O sehingga mereka mampu mengubah kehidupan dan masa depan yang lebih baik.

Menyentuh tentang sesi latihan, setiap artis akan memulakan latihan muzik dan tarian pada awal November ini. Persembahan Siti, Saida dan Saerah akan diiringi oleh kumpulan pemuzik profesional yang akan diketuai oleh Aubrey Suwito manakala kumpulan Coda akan bermain muzik sendiri.

Tambahnya, konsert ini juga diharap akan dapat mengubat rindu para peminatnya yang tidak berkesempatan menonton ‘Konsert Satu’ di Istana Budaya pada Jun lalu. SNP selaku penerbit konsert ini telah mendapat kerjasama Ticket2u.biz untuk urusan penjualan tiket yang boleh dilanggan mulai hari ini, 22 Oktober.

Siti bersama Saida, kumpulan Coda dan Pengurus Hai-O Marketing Sdn Bhd, Tan Kee Hock.

Tiket boleh didapati di Box Office (Istana Budaya), Triways Travel & Tours di KLCC dan Taman Tun Dr Ismail, Malaysia Travel Bureau, MTB di MATIC, Sri Amera Holiday Sdn. Bhd di tingkat 1, Plaza Alam Sentral Shah Alam dan Putrajaya, Pasar Awam Precint 16, Putrajaya dan TicketCharge 29-5, Signature Office Suite, The Boulevard, Mid Valley.

Tiket-tiket juga boleh dilanggan secara online di ticket2u.biz dengan harga tetap RM60. [sumber]

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Get Ready Ke Anugerah Blog Asia Pacifik: IZ OIAM Sponsor HUGO BOSS

Video Syanie Nyanyi Lagu Mencintaimu