in , ,

Konsert Search Rocking On Rooftop Di Bumbung Kompleks Campbell

Kumpulan rock legenda, Search yang kini dibarisi Noordin (gitar), Kid (gitar), Yan (bass), Minn (dram) dan penyanyi baru mereka dari Indonesia, Denden Gonjalez akhirnya bergabung buat pertama kali dalam Konsert Search Rocking On Rooftop yang akan berlangsung di bumbung Kompleks Campbell, Jalan Dang Wangi, Kuala Lumpur pada 11 Jun ini jam 9 malam.

Walaupun lokasi atas bumbung bukanlah asing dalam beberapa penganjuran konsert artis tempatan sebelum ini, namun apa yang bakal diketengahkan Search ada keistimewaan tersendiri.

Kompleks Campbell itu sendiri misalnya, pada era 1980-an dan era eksplosif muzik rock adalah antara ‘port rockers’ selain Kompleks Pertama dan Kompleks Wilayah yang terletak berhampiran. 

Yang pasti, gabungan muzik rock & roll Search, peminat rock dan lokasinya bakal mengimbau nostalgia kegemilangan muzik rock di situ. 

Konsert Search Rocking On Rooftop Di Bumbung Kompleks Campbell

Noordin yang mengilhamkan konsert itu berkata, ia juga bakal menampilkan kelainan terutama dari segi bunyian, pencahayaan, rekaan pentas dan pemilihan lagu.

“Kami akan membawakan 14 hingga 17 lagu. Apa yang menarik ia adalah lagu yag jarang-jarang dan tidak pernah dimainkan Search dalam konsert-konsert sebelum ini. 

“Search ada banyak lagu dan peminat juga minta mainkan macam-macam lagu. Lagu-lagu yang biasa dimainkan dalam konsert dulu, peminat sudah hafal. Jadi, kali ini kami nak kelainan. Kita juga nak mainkan lagu-lagu yang ada potensi untuk menarik pasaran luar terutama Indonesia,” katanya. 

Konsert Search Rocking On Rooftop Di Bumbung Kompleks Campbell

Noordin berkata, antaranya adalah lagu-lagu dari album keenam Search iaitu Rampage yang diterbitkan pada 1992. 

“Album itu turut menampilkan Yan selaku pemain bass. Arah muzik album itu juga berbeza daripada album Search yang lain. Lagipun ramai peminat sukakan album itu,” katanya.

Bukan saja pemilihan lagu, rekaan pentas konsert berkenaan juga berbeza. 

Noordin berkata, pentasnya tidak berbumbung dan tidak ada ‘backdrop’, sebaliknya penonton dihidangkan dengan panorama bangunan pencakar langit di Kuala Lumpur.

“Itulah ‘backdrop’ pentas kami. Pastinya ia memberi impak menarik terutama dari segi fotografi dan visual,” katanya.

Selain itu, kehadiran Denden, Yan dan Minn juga bakal memberikan arah muzik dan ‘sound’ yang lebih segar daripada Search. 

Ini termasuk jurutera bunyi, pasukan produksi dan teknikal yang mantap demi memastikan Search tampil dengan ‘sound’ berkualiti. 

Sementara itu, konsert ini juga bakal menampilkan Ratu Rock, Ella sebagai penyanyi undangan. Ella juga akan berduet dengan Denden.

Tiket-tiket konsert berharga RM88, RM198 dan RM298. Bagaimanapun, tiket berharga RM88 sudah habis dijual.

Tiket boleh dibeli di Search Rock Station, Kompleks Campbell manakala untuk pembelian dalam talian, layari laman web www.fenomenasearch.com.

Konsert Search Rocking On Rooftop Di Bumbung Kompleks Campbell

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Kehidupan Wanita Ini Berubah 360 Darjah Kerana Nurraysa

HAN BYUL

Han Byul Meluahkan Suara Hati Menerusi Single Terbaharu BUKAN MILIKMU