Penyatuan 12 bintang itu adalah untuk menjayakan Konsert Reunion AF2. AF2 pernah mencipta fenomena tersendiri pada tahun 2004. AF2 yang dimenangi Zahid turut disertai Kaer, Bob, Fitri, Anding dan Adam. Bintang wanita pula adalah Linda Nanuwil, Farah Anuar, Zarina Zainoordin, Mas, Nurul dan Edlin.
Menurut pengarah projek, Yusrizan Usop atau Bob, konsert ini diadakan bagi menggembalikan semula memori dan nostalgia peminat terhadap AF2.
“Kami kesemua 12 peserta AF2 akan bergabung semula termasuk mereka yang sudah tidak lagi aktif menyanyi seperti Farah, Linda, Mas, Nurul, Fitri dan Edlin.
“Kami kembali khas untuk mengubati rindu peminat terhadap kami.
“Sebenarnya sebelum ini saya pernah cakap dengan mereka untuk mengadakan konsert sempena ulang tahun ke-10 AF2, tapi tidak menjadi.
“Kali ini sempena ulang tahun ke-15, saya berharap perancangan ini akan berjalan lancar dan Alhamdulillah kami semua dapat berikan komitmen.
“Kami masih belum menetapkan tarikh dan lokasi konsert tapi yang pasti konsert ini akan berlangsung pada bulan Ogos ini yang merupakan tarikh genapnya ulang tahun ke-15 kami menamatkan pembelajaran di AF,”
– Bob
Bob ditemui pada majlis sembang santai bersama media yang diadakan di Restoran Dapur Sarawak, Kuala Lumpur hari ini.
Turut hadir pada majlis itu adalah Zahid, Adam, Fitri, Anding dan Linda.
Sementara itu, Adam berkata dia yakin konsert reunion itu akan mendapat sambutan daripada peminat mereka.
“Saya yakin jenama AF2 masih lagi relevan. Setiap kali kami bersiaran langsung di IG Live, pasti peminat akan minta kami adakan konsert balik.
“Jadi, kami kembali menunaikan permintaan. Harapnya peminat dapat beramai-ramai datang ke konsert ini nanti.
“Menerusi konsert itu juga kami akan menyanyikan lagu yang pernah dipersembahkan pada konsert mingguan AF2 serta lagu sendiri,”
– Bob
Tiket dijual pada harga RM150, RM250 dan RM500 (sesi meet & greet).