KONSERT 2 RAKSASA: SEJARAH BAKAL BERULANG KEMBALI
1984…
‘KEHEBATAN DAYA PENARIK MEREKA LUAR BIASA ‘ tulis wartawan Saodah Salleh sebagai tajuk utama di akhbar Mingguan Malaysia sekitar Ogos 1984. Gambar-gambar aksi pentas Sweet Charity melengkapkan artikel itu yang menulis tentang sebuah konsert jelajah besar-besaran yang sedang berlangsung ke seluruh Malaysia. Media-media utama tempatan tak berhenti-henti mengulas dengan positif tentang kejayaan dan kehebatan konsert-konsert tersebut.
Waktu itu, siri persembahan yang dinamakan KONSERT RAKSASA sedang berlangsung di beberapa lokasi di sebelah Pantai Barat Semenanjung dan dua band tersebut ialah Sweet Charity dan Blues Gang, dua aksi rock n’ roll dan blues terhebat pernah dilahirkan di rantau ini. Dua band yang berganding, saling melengkapkan status mereka sebagai band yang kini bergelar lagenda muzik Malaysia.
Ketika itu, Sweet Charity dan Blues Gang berada di puncak kerjaya mereka sebagai pemuzik handalan serta mengumpul peminat yang cukup ramai. Kedua-dua band inilah yang memulakan sejarah ‘rock stadium’ di sini, di mana setiap persembahan mereka pasti mengumpul peminat sehingga puluhan ribu orang dan persembahan mereka tidak pernah gagal untuk menggamatkan suasana.
Para penonton mereka pasti balik dengan kepuasan dan kenangan itu pasti masih terbayang di ruangan mata di kala ini. Ia menjadi antara memori yang sukar dilupa!
Dengan perancangan 30 lokasi seluruh Malaysia, Konsert Raksasa ialah salah sebuah siri jelajah berskala besar yang penuh ambisi dan boleh dikatakan, sehingga kini ia adalah antara yang terbesar di dalam sejarah muzik Malaysia. (Jika mengambilkira genre rock..lah) Dijana oleh promoter Showmasters, dengan Ali Bakar sebagai inisiatif utama, ia ditaja jenama kasut terkenal Bata yang mempromosikan produk hip mereka, North Star.
Sebelum itu, Sweet Charity yang baru keluar dengan album kelima Batu (1983) telah melebarkan pengaruh mereka ke seluruh Malaysia sehingga ke Sabah dan Sarawak dengan sesi jelajah mereka sendiri. Blues Gang juga telah membuktikan mereka ialah raja pentas apabila konsert-konsert mereka di serata Malaysia hebat diperkatakan. Dengan reputasi, kehandalan dan karisma, mereka menyelesaikan Konsert Raksasa 84 dengan cemerlang dan mencipta sejarah yang tak mampu dipintas mana-mana band yang lebih muda. Bagi mereka sendiri, ia adalah bagai satu perjalanan yang epik.
Sedikit sejarah ya. Konsert Raksasa terbahagi kepada tiga peringkat dan bermula di Kuala Lumpur dan kemudiannya ke utara di bandar-bandar Ipoh, Kangar, Alor Star dan Pulau Pinang (13 Ogos 1984). Peringkat kedua pula menjelajah lokasi-lokasi Pantai Timur di Kuantan, Kuala Terengganu, Kota Bharu, Dungun dan Besut manakala peringkat ketiga melawat ke selatan di lokasi seperti Kuala Pilah, Segamat, Kluang, Johor Bharu, Batu Pahat dan Mersing.
Hasilnya? Sebuah siri konsert yang cukup mega dan hebat yang pernah berlaku dalam sejarah muzik Malaysia. Konsert ini ialah antara pencetus utama gelombang rock di Malaysia, sehingga melahirkan satu budaya hidup dan seni yang unik di kalangan anak-anak muda (kini mereka dah dewasa, bukan tua). Gelombang inilah juga yang melahirkan ramai pemuzik-pemuzik hebat yang ada sekarang serta para politikus yang terbuka penerimaan ruang muzik serta seninya.
Apa sahaja hasilnya mungkin terlalu kabur untuk digambarkan. Tetapi apa yang terbukti ialah keupayaan kedua band ini dalam menggegarkan mana-mana pentas yang mereka takluki. Dan telah tercatat dalam sejarah, Sweet Charity dan Blues Gang sememangnya tidak pernah sekali-kali mengecewakan.
Setiap kali mereka berpentas, pasti terdapat kemistri hebat dengan para penonton dan ia adalah sesuatu yang tidak pernah mati, kerana kedua-dua band ini masih hidup, bersemangat dan jika berpeluang bermain, tenaga dan semangat mereka masih seperti 1984.
1984 – 2011
Sejak berpecah pada pertengahan 80an, Sweet Charity telah beberapa kali mengadakan sesi reunion di stadium-stadium besar serta di pentas-pentas terpilih. Sebesar mana tempat itu pun, ia masih dipenuhi peminat dan Sweet Charity masih tetap menggegar. Suasana dan semangatnya tetap sama seperti berpuluh tahun lalu.
Blues Gang pula tetap bermain muzik di sirkit-sirkit kelab blues dan rock n’ roll seluruh Malaysia dan kadangkala, negara sekitar Asia. Disamping membikin beberapa album, Blues Gang tetap membuat sesi reunion tersendiri untuk peminat setia.
Apa yang pasti, kedua band ini sentiasa cintakan muzik dan muzik ialah kehidupan seharian mereka. Mungkin, setelah bermain muzik lebih 40 tahun, ada yang mahu dipertontonkan kepada peminat-peminat yang lebih muda, peminat-peminat muzik zaman sekarang. Pendek kata, mereka telah MENJIWAI muzik mereka. Dan… muzik ialah JIWA mereka.
Sweet Charity dan Blues Gang ialah bukan sebenar-benarnya lagu-lagu yang mereka popularkan. Ia adalah tentang ahli-ahli band itu sendiri. Tentang karakter mereka, tentang penjiwaan mereka, tentang karisma mereka sebagai pemuzik serta tentang menghalusi seni muzik ketika mereka berada di pentas.
Kedua band besar ini sudah lama menyimpan taring ataupun ‘sesuatu’… dan nampaknya tahun ini, mereka berpeluang untuk mempamerkannya…
KONSERT 2 RAKSASA 2011
Benar, ia adalah satu realiti yang cukup menguja dan mengagumkan. Sweet Charity dan Blues Gang akan kembali menggoncang dunia muzik Malaysia!
Pada 9 Julai 2011, kedua band gergasi ini akan bergabung semula di stadium bersejarah, Stadium Merdeka Kuala Lumpur bagi menyalakan kembali fenomena muzik yang pernah mereka cetuskan dahulu. Selepas 27 tahun berlalu, sejarah bakal berulang dan ia pasti menghangatkan lagi arus muzik rock Malaysia – Singapura.
Tetapi, ia lebih kepada satu pernyataan bahawa mereka adalah sebenar-benarnya dua band RAKSASA yang pernah mencipta satu sejarah yang cukup hebat suatu ketika dahulu dan kini tiba masanya untuk menghidupkan kembali serta mempamer TENAGA serta JIWA muzik yang telah menjana Konsert Raksasa 84 kepada generasi sekarang.
Bagi yang hanya pernah ‘mendengar’ kehebatan dua lagenda ini, KONSERT 2 RAKSASA 2011 pasti ialah tempatnya untuk membukti dan menyaksikan sendiri. Bagi yang pernah menonton mereka 27 tahun lalu, ini adalah peluang yang jarang terbuka untuk membangkit semula memori lama dan menikmati muzik hebat, yang terbit dari jiwa dua band lagenda rock dan blues Singapura – Malaysia…
Jim Madasamy, pemain bass Blues Gang pernah berkata di akhbar New Straits Times, “dahulu, kami tidak bergantung kepada gajet atau peralatan canggih untuk mendapatkan bunyi mantap. Sebaliknya, ia perlu banyak skil, penghayatan dan ekspresi.†Elemen-elemen muzikal inilah yang kita nantikan dari Sweet Charity dan Blues Gang di konsert 2 Raksasa ini.
SWEET CHARITY terdiri daripada Ramli Sarip (vokal), Rosli Mohalim (gitar), Ahmad Jaafar Jawahir (AJ – kibod & vokal) dan Rahman Sarbani (dram).
Pemuzik undangan: Hamid Ahmad (Bes gitar) Kudin Ramly (Kibod) dan Kamrulbahrin Hussin (Perkusi)
DISKOGRAFI SWEET CHARITY
1979 – SWEET CHARITY
1980 – PELARIAN
1981 – SEJUTA WAJAH
1982 – PENUNGGU
1983 – BATU
1984 – KOLEKSI
1985 – BERITA GEMPA
1988 BEST OF SWEET CHARITY VOL 1
1992 BEST COLLECTION OF SWEET CHA
2000 SWEET CHARITY/LEFTHANDED/BLUES GANG
2002 KENANGAN DI HARI RAYA
2007 SWEET CHARITY VS BLUES GANG
2008 VCD SWEET CHARITY FATHER’S DAY CONCERT
2009 PHOTO BOOK +DVD SWEET CHARITY CONCERT AT ESPLANADE SINGAPORE
BLUES GANG terdiri daripada Ito Mohd (vokal), Shaik Abdul Karim Shaik Ahmad (dram & vokal), Jim Madasamy (bes gitar), Abdul Ghani Talip (kibod & gitar) dan Julian Mokhtar (gitar).
DISKOGRAFI BLUES GANG
1979 – ANY TIME ANY DAY
1981 – BLUES GANG
1982 – ADA LAGI
1983 – KHATULISTIWA
1984 – LIVIN’ IT UP
1985 – SAKIT SAKIT SAKIT
1986 – ZAMAN BERUBAH
1988 – MENCARI PENYELESAIAN
1998 – RIBUT PENDAMAI
Harga tiket: RM73.00 (ruang bebas)
Boleh didapati di: www.airasiaredtix.com
Hotline: 03 8775 4666
atau semua cawangan Redtix di Rock Corner dan Victoria Music