KEUNIKAN vokal dan personalitinya membuatkan Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Zarai, 25, berada dalam kelasnya tersendiri. Lagu Dan Sebenarnya mengangkat nama Yuna biarpun ketika itu khalayak masih tidak mengenali wajah dan personaliti sebenarnya.
Kini, dia cukup dikenali malah tuahnya berterusan apabila dia dinobatkan sebagai Penyanyi Wanita Popular Anugerah Bintang Popular (ABP2010) dan tersenarai dalam anugerah-anugerah dalam industri seni. Dia juga kini dalam usaha mengembangkan bakatnya keluar negara iaitu Amerika Syarikat.
Impak popularit, bakat dan kreativiti mencipta lagu, Yuna mencipta sejarah dengan menjadi artis pertama diberi peluang mengadakan konsert maya pertama di Asia oleh Hotlink.
Konsert yang akan berlangsung pada 14 Disember ini akan berlangsung secara percuma buat 10,000 pelanggan Hotlink yang bertuah. Pelanggan Hotlink hanya perlu membuat tempahan tiket di laman web www.nowyoucan.my/yuna dan mereka boleh melihat konsert Yuna secara maya itu menerusi kamera online seperti telefon bimbit mahupun komputer riba.
Menurut Ketua Bahagian Produk, Peralatan, Inovasi dan Perantauan Maxis, T. Kugan, pihaknya begitu teruja untuk menjayakan konsert pertama maya itu yang nyata sesuai dengan tagline mereka Kini Anda Boleh (Now You Can).
“Kami memilih Yuna kerana dia seorang artis yang diminati ramai dan dia juga pandai mencipta lagu sendiri. Yuna juga sukacita memberitahu dia ingin bekerjasama untuk menjayakan konsert yang boleh ditonton eksklusif secara online ini. Konsert ini adalah khas buat peminat-peminatnya yang terdiri daripada pelanggan Hotlink,” katanya pada sidang media konsert secara maya Yuna di The Bee, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Malah, kata T.Kugan, Yuna akan mendendangkan lagu terbaharu ciptaannya dan ia akan didendangkan buat pertama kalinya di hadapan 10,000 peminatnya.
T. Kugan juga memberitahu, jika konsert ini mendapat sambutan yang menggalakkan pihak Hotlink akan berterusan menjayakannya pada masa akan datang dengan jumlah penonton yang akan ditambah. Pihak Hotlink juga akan cuba memilih artis-artis terkenal lain untuk menjayakan konsert secara maya itu.
Sementara itu, bagi Yuna, dia begitu teruja kerana dipilih sebagai artis pertama untuk menjayakan konsert secara maya itu.
“Adalah sesuatu yang unik apabila saya perlu membuat persembahan di hadapan kamera dan penonton tiada di depan mata. sebaliknya mereka melihat persembahan saya itu menerusi kamera online,” katanya yang anggun mengenakan baju dan tudung berwarna merah.
Melalui konsert pada 14 Disember ini, penonton online boleh memberi tajuk pada single terbaharu Yuna dan mungkin berpeluang muncul pada video muzik untuk kempen promosi single berkenaan
Penonton yang telah membuat tempahan pada konsert itu boleh mendaftar masuk bermula pada pukul 7 hingga 7.45 petang untuk menonton konsert itu secara eksklusif.