Pertarungan kini bermula! Setelah menyaksikan episod sesi uji bakat sebelum ini di TV3 yang mempamerkan pelbagai gelagat peserta yang ingin menjadi anak didik program Bintang Mencari Bintang musim kedua (BMB2), pastinya para penonton sudah tidak sabar untuk mengetahui peserta manakah yang akan bergelar anak didik kepada 6 Sifu iaitu Afdlin Shauki, Harun Salim Bachik, Faizal Ismail (FBI), Saiful Apek, Adlin Aman Ramli dan Ebby Yus.
Selepas menemui anak didik yang layak untuk diasah bakat untuk menjadi penghibur, maka kini bermulalah peranan setiap Sifu untuk membimbing anak didik masing-masing dengan segala ilmu berkaitan dengan bidang sketsa komedi dan nyanyian bagi menyambung legasi mereka. Selain itu, Sifu juga bertindak sebagai idola yang memberi inspirasi kepada anak didik mereka.
[pullquote]Debaran dan keterujaan BMB2 bermula dengan konsert pengenalan bagi memperkenalkan Sifu serta anak didik sebelum mereka bertanding mengikut kumpulan pada minggu depan. Minggu lalu, penonton dapat menyaksikan dua konsert pengenalan iaitu pada 11 April 2014 (Jumaat) dan pada 13 April 2014 (Ahad). Bintang Manakah Bersinar Di Konsert Pengenalan Bintang Mencari Bintang 2?[/pullquote]
Pada malam konsert pengenalan pertama yang bersiaran secara langsung pada 11 April 2014, EHAH, OOOOO, TOKAN, LAMPU, JEBAT dan SUMBU membuka gelanggang BMB2 dengan mempersembahkan sebuah sketsa komedi tema bebas selama 3 minit dan sebuah lagu selama 2 minit. Tampil sebagai peserta pertama, EHAH iaitu anak didik kepada Harun Salim Bachik menyampaikan persembahan sulung mereka, diikuti dengan persembahan oleh MMMMM iaitu anak didik kepada Afdlin Shauki, TOKAN (Faizal Ismail), LAMPU (Saiful Apek), KEPOH (Adlin Aman Ramli) dan SUMBU (Ebby Yus).
Bagi konsert pengenalan kedua pula yang menemui penonton pada 13 April 2014 (Ahad), anak didik EBBY Yus iaitu PK akan membuka tirai dengan persembahan mereka dan kemudian diikuti oleh JEBAT (Adlin Aman Ramli), 2AZ (Saiful Apek), GBOB (Faizal Ismail), OOOOO (Afdlin Shauki) dan diakhiri dengan persembahan oleh TAKTIH (Harun Salim Bachik). Selepas persembahan tersebut, penonton dapat mengetahui siapakah 6 anak didik yang akan bertanding dalam Kumpulan A dan Kumpulan B.
Seramai 23 anak didik yang terdiri daripada 1 peserta solo dan 11 peserta kumpulan yang dipilih untuk menggamatkan saingan BMB2 kali ini. Setiap Sifu akan mempunyai dua anak didik yang bertanding iaitu satu dari Kumpulan A dan satu lagi dari Kumpulan B. Bagi saingan peringkat pertama, anak didik akan berentap mengikut kumpulan selama empat minggu dan anak didik yang mendapat markah terendah akan disingkirkan. Kemudian bagi peringkat kedua, anak didik dari Kumpulan A dan B yang belum tersingkir akan bertemu untuk bersaing di peringkat separuh akhir. Sebelum tiba minggu terakhir, hanya lima kumpulan, layak berentap di peringkat akhir BMB2 untuk merangkul gelaran juara sekaligus membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM200,000 berserta trofi.
Menurut Penerbit Eksekutif Bintang Mencari Bintang, Muhamad Sufian Isa, :
“Program BMB2 kembali bersiaran selepas memberi laluan dan menghormati tragedi MH370. Dengan penangguhan ini sedikit sebanyak dapat memberi kelebihan kepada para anak didik dan Sifu dalam membuat percaturan yang lebih baik. Bagi minggu pertama kesemua anak didik beraksi bagi menentukan kedudukan mereka sama ada berada dalam Kumpulan A atau Kumpulan B. Kami melihat persembahan pada minggu pertama ini sebagai proses pembelajaran dan pengalaman buat anak didik. Kami berharap penonton tidak membandingkan para anak didik yang masih baru dalam bidang sketsa komedi dengan pelawak profesional. Beri mereka tempoh beberapa minggu dan saya percaya selepas itu kualiti komedi mereka pasti jadi lebih baik.”
Sepanjang 16 episod, BMB2 menampilkan Adibah Noor dan Achey sebagai pengacara program. Selain itu, BMB turut menampilkan nama besar di dalam industri tanah air, ikon yang cukup berpengalaman dan sememangnya ‘otai’ di dalam bidang hiburan iaitu Fauziah Ahmad Daud untuk mengisi kerusi juri pada setiap minggu. Manakala, dua lagi juri tetap bagi musim ini iaitu A.R Badul akan menjadi juri untuk konsert Kumpulan A dan Ahmad Idham juri untuk konsert Kumpulan B.
Untuk musim kedua ini, format permarkahan dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu 50% daripada juri profesional, 30% melalui undian SMS dan 20% daripada juri awam yang terdiri dari kalangan pelajar seni persembahan, wartawan, golongan semi-profesional dalam industri sketsa komedi dan nyanyian. Juara BMB2 akan membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM200,000 beserta trofi.
Sementara itu, penonton berpeluang untuk mengenali dengan lebih dekat kesemua anak didik BMB2 menerusi KOMIK BMB yang akan disiarkan selama 30 minit pada setiap hari Ahad jam 5.30 petang. Program yang dihoskan oleh bekas anak didik BMB musim pertama iaitu kumpulan Titan ini juga akan membawa penonton melihat gelagat anak didik serta perkara-perkara yang bakal terjadi ketika mereka menghadiri kelas latihan dan juga perkara-perkara yang berlaku semasa mereka membuat persiapan untuk berentap di pentas BMB2.
Ikuti konsert mingguan BMB2 yang diterajui oleh Penerbit Eksekutif, Muhamad Sufian Isa yang disiarkan secara langsung dari Studio Sri Pentas 2 dari Plaza Alam Sentral Shah Alam. Dalam bulan April, konsert mingguan BMB2 bersiaran secara langsung pada hari Jumaat (11 April, 18 April & 25 April) dan hari Ahad (13 April, 20 April & 27 April) dari jam 9.00 – 10.30 malam di Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral.
Selepas itu, BMB2 akan bersiaran secara langsung pada setiap hari Ahad jam 9.00 malam sehingga acara kemuncaknya yang dijangkakan berlangsung pada 22 Jun 2014. Untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini tentang BMB2, penonton boleh melayari sesawang rasmi BMB2 di www.tv3.com.my/bmb2014 dan laman sosial Facebook, Instagram & Twitter TV3Malaysia. Pengguna laman sosial Twitter boleh menggunakan ‘hash tag’ (#BMB2014) untuk menghangatkan lagi bahang BMB2!