Tahniah buat penganjur iaitu NS Diversified Sdn Bhd di atas kejayaan Konsert Patah Hati yang berlangsung pada 15 Mac lalu iaitu pada hari Rabu, bukan hujung minggu, dan ini jelas dari sudut pemerhatian Budiey, lokasi Zepp Kuala Lumpur tetap penuh dengan kehadiran 2,400 peminat lagu yang bertemakan patah hati. Ternyata ramai orang Malaysia tengah galau.
Malam itu, ruang Zepp KL bertukar menjadi medan ‘patah hati’ apabila masing-masing turut menyanyi bersama penyanyi kesayangan mereka selama 3 jam bermula jam 8 malam. Baru puas hati!
Ternyata idea penganjur mengetengahkan konsert berkonsepkan lagu cinta dan melankolik ini disambut dengan begitu baik.
Untuk info, Konsert terbitan ANS Diversified Sdn Bhd dengan kerjasama Rakan Strategik, Yayasan Digital dan Jemz Group serta Rakan Media, Oh My Media, Wilayahku dan Suria FM ini membariskan penyanyi-penyanyi hebat seperti Aisha Retno, Naim Daniel, Ernie Zakri, Noh Salleh, kumpulan Nastia dan juga kumpulan Imsomniacks.
Persembahan dibuka dengan begitu memukau dengan kehebatan vokal Aisha Retno yang menyanyikan lagu Tentang Dia (Melly Goeslaw feat Evan Sanders) Pencarianku, Terasing (Tribute to Datuk Sudirman Hj Arshad, Suci Dalam Debu (Iklim), Ke Hujung Dunia (Siti Sarah) dan Kesetiaan (Siti Sarah).
Tidak hanya itu, Aisya menampilkan teman seperjuangannya dalam program realiti, Big Stage musim keempat iaitu Danial Chuer, mendendangkan lagu Tentang Dia, nyanyian asal oleh Melly Goeslaw.
Kehangatan diteruskan dengan penampilan kumpulan Nastia yang membawakan lagu Esok Belum Tiba (Nastia feat Liyana Fizi), Jiwa-Jiwa Ku Sayang, Tanpamu, Separuh Aku (Noah) dan juga Rapuh.
Tidak kurang memukau persembahan Ernie menerusi lagu Gundah, Rindu dan lagu medley dendangan ibu saudaranya, Ziana Zain iaitu Putus Terpaksa, Anggapanmu dan Madah Berhelah.
Selepas itu, Naim Daniel telah membuatkan penonton ‘histeria’ dengan menyampaikan beberapa buah lagu hits miliknya iaitu Sumpah, Adakah Engkau Menungguku dan beberapa lagu cover seperti Pupus (Dewa 19), Cinta Ini Membunuhku (D’masiv) serta The Only Exception (Paramore).
Pada malam itu, kita dapat lihat persembahan pertama Naim Daniel bersama projek band digelar Muah.
Kata Naim, dia bersama empat anggota Muah berjaya memberi persembahan baik sebagai band, meskipun hanya sempat berlatih sehari sebelum pementasan.
“Alhamdulillah, saya merasakan ini adalah pengalaman baru, lebih lagi, kami berlatih sehari sebelum konsert sebab masing-masing ada komitmen.
“Tetapi, saya sangat seronok sebab sebelum ini, lagu didendangkan bersama ‘minus one’, kali ini bersama band yang juga rakan satu bantal ketika menuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.
“Insya-Allah, kami akan ada projek seterusnya,”
Momentum diteruskan dengan kumpulan yang digilai peminat muda zaman sekarang, Insomniacks dengan mendendangkan lagu Reminisensi, Sempurna, Igauan Malam dan Pulang.
Kemuncak malam Konsert Patah Hati ini sudah tentu menerusi persembahan vokalis sensasi, Noh Salleh.
Noh menyampaikan lagu Angin Kencang dan Sang Penikam.
Lebih istimewa Noh turut membuat kejutan dengan kehadiran gitaris Hujan, Izzat Husaini dan pemain bes, AG Coco mengiringinya menerusi lagu Kotak Hati dan Bila Aku Sudah Tiada.
Lagu wajib Hujan mengakhiri persembahan menerusi lagu Aku Skandal bersama barisan artis yang turut menjayakan konsert berkenaan.
Konsert kali pertama berkonsep lagu patah hati ini berakhir, jam 11 malam.
Kebanyakkan yang hadir berpuas hati dengan barisan artis yang membuat persembahan pada malam tersebut.
Melihat sokongan peminat menerusi konsert berdurasi lebih tiga jam itu, Noh meluahkan penghargaan kepada penganjur, ANS Diversified apabila berjaya menyatukan menampilkan enam artis tempatan popular atas satu pentas.