Tanggal 4 Februari yang lalu, Ruang Hati Kita, dengan kerjasama Damansara Performing Art Centre (DPAC), Luncai Emas dan Warisan Hall Studio telah menganjurkan sebuah konsert Panggung Suara dari sebuah kumpulan rock nusantara yang semakin memahat nama di industri musik Malaysia – Pitahati, dan ianya mendapat sambutan hebat.
Jika dipandang dari sudut keseluruhan konsert persembahan kali ini telah berjaya memukau para penonton yang hadir pada hari tersebut. Konsert ini juga berjaya menarik perhatian wajah-wajah peminat yang baru mahu mengenali Pitahati.
Ini kerana mereka semakin bijak apabila membuat beberapa penambahan baru mengenai persembahan kali ini termasuk konsep visual yang lebih tepat terhadap penceritaan susunan lagu, begitu juga pengcahayaan, lakonan teatrikal dan prop yang lebih berbeza.
Seperti kebiasaan di konsert-konsert mereka sebelum ini, terdapat penekanan yang kuat dari Pitahati terhadap kualiti bunyi yang disampaikan. Ternyata, Pitahati mempunyai potensi kerana mereka berani membuat persembahan yang berskala besar walaupun tempat duduk terhad kepada 200 penonton sahaja.
Dengan adunan dan pemilihan repertoire lagu-lagu dari seluruh album yang ada, disertai projection mapping yang diisi dengan reka cerita yang menarik, selain cuba mengisi dan mencipta konsep-konsep yang baru pada setiap lagu yang disampaikan, para penonton nampak terhibur dan melayar bersama.
Untuk pengetahuan umum, Pitahati amat menitikberatkan kualiti seni persembahan di mana mereka sering bereksperimentasi dengan citarasa penggemar musik konsert mereka. Disebabkan itu, mereka menubuhkan Ruang Hati Kita untuk dijadikan platform mereka sendiri untuk mereka terus berkarya.
Pelakon yang dibarisi oleh Setyo Wibowo, Khairil Ridzuan dan Fath Rodzi, menyelingi beberapa lagu seperti ‘Dari Minda Saorang Sutradara’ dan ‘Kedai Kopi 50-an’ dan ‘Tutup Panggung’ berjaya membuatkan penonton dibuai dengan visual berserta bunyi-bunyian. Suasana auditorium asyik dengan pencahayaan yang tepat ditambah dengan prop-prop teatrikal sebelum tamat persembahan.
Sebelum terlambat, Pitahati juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak-pihak yang turut berkerjasama dalam menjayakan konsert ini, Luncai Emas, Warisan Hall Studio, DPAC, kumpulan Orang Kuat Pitahati, rakan-rakan artis dan juga media yang berkerjasama melakukan sebaran promosi konsert Panggung Suara Pitahati.
Pitahati berharap agar diberi peluang lagi untuk melakukan persembahan di masa akan datang. Pitahati kini masih didalam perancangan untuk merangka sebuah tour yang bakal bermula pada Julai tahun ini.