in , ,

Konsert ‘Nafas Cinta’ Khai Bahar, Ubati Kekecewaan Peminat

Konsert sulung penyanyi Khai Bahar yang dijadual berlangsung pada Mac tahun lalu dibatalkan selepas ia tertunda lebih setahun ekoran penularan wabak Covid-19 selain aktiviti persembahan dan konsert tidak dibenarkan sepanjang pelaksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Berita pembatalan konsert yang sepatutnya diadakan di Istana Budaya itu sedikit sebanyak mengundang kesedihan penyanyi yang mencipta nama menerusi aplikasi Smule itu. Apatah lagi, kebanyakan peminat sudah teruja untuk menyaksikan artis kesayangan mereka beraksi di pentas ternama itu.

Namun, kekecewaan itu bakal terubat apabila Khai, 27, atau nama sebenarnya Muhammad Khairul bin Baharuddin kembali menjayakan Konsert ‘Nafas Cinta’ Khai Bahar pada 12 Februari tahun hadapan.

Konsert anjuran syarikat Nova Music itu bakal diadakan di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJ PAC), 1 Utama Shopping Centre, Bandar Utama. 

Khai yang popular menerusi lagu “Bayang”, “Dari Jauh Saja”, “Luluh dan banyak lagi berkata, dia teruja dan terharu apabila pihak Nova Music memilih dirinya untuk menjayakan konsert tersebut.

“Apabila saya mendapat tawaran mengadakan konsert tahun lalu, bagi saya ia satu peluang keemasan. Namun, perancangan Allah SWT itu lebih baik. Saya menganggap belum ada rezeki untuk buat konsert apabila ia terpaksa dibatalkan atas faktor tertentu dan selepas berbincang dengan semua pihak biarpun ketika itu sudah banyak persiapan dilakukan. Apa pun saya memandang ia dari sudut positif.

“Saya juga percaya setiap apa yang terjadi itu pasti ada hikmah di sebaliknya. Alhamdulillah, saya mendapat tawaran daripada pihak Nova Music yang mahu menganjurkan konsert saya. Kata orang, besar tapak tangan nyiru saya tadahkan. Pelawaan itu saya anggap rezeki buat saya. Selepas membuat perbincangan, pasukan saya bersetuju untuk membuat konsert ‘Nafas Cinta’ Khai Bahar ini,” katanya.

khai,aina_adiraphoto-2

Menurut Khai juga pemenang tiga kali kategori ‘Penyanyi Lelaki Popular’ pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) menyifatkan penganjuran Konsert ‘Nafas Cinta’ Khai Bahar itu dapat mengubat kerinduan dan kekecewaan peminatnya.

“Diakui ramai sedih dan kecewa apabila konsert yang sepatutnya berlangsung di Istana Budaya dibatalkan. Saya pun tidak tahu nak memberi reaksi macam mana, sebab saya sendiri juga sedih. Macam dikatakan, saya anggap ia belum rezeki.

“Namun, kehadiran Konsert ‘Nafas Cinta’ Khai Bahar ini saya harap dapat mengubat kesedihan mereka. Saya bersama pasukan dan pihak penganjur akan cuba memberikan yang terbaik. Biarpun lokasi persembahan tidak dapat memuatkan jumlah yang ramai, sekurang-kurangnya impian dan hasrat saya serta peminat untuk menjayakan persembahan berskala besar tercapai.

“Tipulah jika dalam kerjaya seseorang penyanyi dia tidak mengimpikan sesuatu yang besar dalam karier seni. Begitu juga saya yang mana mengadakan konsert ini satu daripada cita-cita yang belum tercapai. Jadi, doakan semoga segala perancangan menuju konsert ini dipermudahkan Allah SWT,” katanya.

Konsert ‘Nafas Cinta’ Khai Bahar, Ubati Kekecewaan Peminat

Sementara itu, penerbit dan penganjur konsert, Rosmin Hashim berkata, pemilihan Khai adalah tepat kerana penyanyi itu mempunyai kekuatan peminat luar biasa selain banyak menjalin kerjasama dengan syarikat rakaman Nova Music dan  Seventeen Eleven Music.

“Kenapa Khai? Ini kerana dia antara penyanyi muda yang banyak lagu hits dan berjaya selain mempunyai peminat yang ramai. Kalau kita sebut nama Khai Bahar, memang cukup dikenali. Dia mempunyai kelompok peminat dari semua golongan dan peringkat umur. Selain itu, dia antara penyanyi yang bersih dari sebarang kontroversi,” katanya.

Ditanya adakah penganjuran Konsert ‘Nafas Cinta’ Khai Bahar itu disebabkan pembatalan konsert Khai terdahulu, Rosmin berkata ia berlaku secara kebetulan.

“Itu bukan punca kami buat konsert ini. Tak terfikir pun perkara itu. Cuma, kami berasakan sudah sampai waktunya kami menganjurkan konsert berskala besar. Lagi pula aktiviti persembahan pentas dan konsert kini sudah pun dibenarkan berlangsung. Orang ramai pun dahagakan hiburan persembahan secara langsung. Jadi, tidak salah kami mengorak langkah ini.

“Kami berasakan dia penyanyi yang tepat untuk buat konsert ini. Perancangan buat konsert ini pun secara kebetulan dibuat pada Oktober lalu. Selepas kami berjumpa dan berbincang dengan pasukan Khai, alhamdullah, mereka terima pelawaan kami,” katanya.

Konsert ‘Nafas Cinta’ Khai Bahar bakal diadakan secara hybrid fizikal dan virtual live. Ini membolehkan bukan sahaja peminat Khai Bahar dari Klang Valley untuk menonton konsert ini malah peminat beliau dari seluruh Malaysia dan rantau Asia. 

Selain Khai, konsert ini menampilkan naib johan AJL-35, Aina Abdul dan ‘Ratu Soundtrack’, Adira Suhaimi sebagai penyanyi jemputan.

Tiket tontonan konsert secara fizikal yang dijual dengan harga RM189.90 boleh mula dibeli pada 31hb. Disember ‘21 di ONETIX dengan melayari https://onetix.com.my/ manakala tiket tontonan konsert secara virtual yang dijual dengan harga RM69.90 (31/12/21 – 13/01/22), RM79.90 (14/01/22 – 27/01/22) dan RM89.90 (28/01/22 – 11/02/22) boleh di beli pada hari yang sama dengan melayari https://www.cloudtheatre.com/my/ .

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Adib Zahar Optimis Buka Tirai 2022, Lancar Single ‘Waktu’ Di Tahun Baru

Habib Rasmi Bilik Pameran Terbesar di Pavilion Bukit Jalil Tampil Konsep Moden & Kontemporari