Pejam celik pejam celik, sedar tak sedar sudah sedekad rupanya penyanyi kelahiran Singapura Imran Ajmain sudahpun melayari kehidupan sebagai anak seni. Ramai yang tak tahu, dulunya Imran Ajmain memulakan kariernya dengan menjadi ahli kumpulan hip hop serta R&B Singapura. Kemudian, menyedari tentang kehendak jiwa muziknya yang meronta dan selera pendengar semasa, beliau menjadi penyanyi solo dan melonjak naik dengan lagu berhantu iaitu Seribu Tahun.
Bagaikan tak terduga, pada hari Jumaat lalu, 13 Julai 2018, Budiey dijemput oleh pihak pengurusan Imran Ajmain untuk mengikuti perjalanan muzik beliau di konsert mini Imran Ajmain Sepuluh Tahun Pertama yang berlangsung di Studio Recital, Esplanade, Singapura. Budiey dikhabarkan tiket sudah pun sold out.
Temubual Bersama Imran Ajmain di Konsert Mini 10 Tahun Pertama
Begitu lah penangannya apabila Imran Ajmain dah lama tak menghiburkan peminat di konsert skala sebesar itu dan menghimpunkan kembali peminatnya dari Singapura dan Malaysia juga. Seramai 300 orang peminat telah terhibur dengan kegemersikan suara Imran Ajmain pada malam itu.
Tidak dapat disangkalkan lagi, kelunakan suara Imran menyampaikan rangkaian lagu popularnya seperti Sudah Tu Sudah, Malu, Selamat Ulang Tahun Sayang, Jika Engkau Pergi, Hanya Menari, Dikalung Kasihan dan Ghaibmu.
Pendapat Penonton Tentang Konsert Imran Ajmain 10 Tahun Pertama
Budiey sangat tertarik dengan cerita-cerita yang disampaikan oleh Imran Ajmain. Yelah, dah 10 tahun dalam perjalanan seni muzik Imran pastinya sepanjang sedekad itu banyak sekali kisah manis dan pahit terlakar dalam diari seni beliau.
Membuka tirai dengan lagu rancaknya ‘Yang Sudah Tu Sudah’, Imran terus mendapat tepukan gemuruh daripada para peminat setianya yang sama-sama bernyanyi sepanjang dia membuat persembahan. Malam konsert diserikan lagi dengan lagu-lagu popularnya yang lain seperti ‘Selamat Ulangtahun Sayang’, ‘Jika Kau Pergi’, ‘Di Kalung Kasihan’ dan banyak lagi.
Imran juga sempat membawa penonton menelusuri perjalanan seni bapanya, Allahyarham Ahmad Husaini Ajmain yang merupakan penerbit, penyusun muzik dan penggubah lagu terkenal untuk penyanyi era 80-an.
Arwah ayahnya yang telah menerbitkan banyak album penyanyi popular seperti arwah Azean Irdawati, kumpulan Sweet Charity dan juga Yasmin Yusuf juga banyak mempengaruhi kerjaya seni Imran.
Yang Budiey tunggu adalah momen Imran Ajmain menyampaikan single terbarunya iaitu Intan dan Perak. Sebuah lagu yang Budiey kira akan diterima oleh pendengar dan mengubati rindu peminat.
Tahniah buat Imran Ajmain di atas kejayaan konsert mini dan apalah kiranya jika konsert ini dibawa ke Malaysia. Pastinya sukses. Semoga Imran terus berkarya dengan menghasilkan lagu-lagu yang lebih mantap.
Terima kasih kerana sudi menjemput Budiey.com.
Foto: Zaidi Jupri, @theshahrulizzat untuk @ss_creatives