Satu konsert mini, Asia Traditional Orchestra (ATO) telah diadakan di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 8 Disember lalu ATO merupakan satu program kerjasama kebudayaan bidang muzik antara negara ASEAN dengan Republik Korea.
Acara tahunan di negara anggota ASEAN dan Republik Korea tidak dapat dilaksanakan sejak dua tahun kebelakangan ini disebabkan pandemik Covid-19.
Konsert mini pada tahun ini telah dipersembahkan oleh Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) dan dihadiri oleh YB Datuk Seri Dr. Santhara J.P., Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia bersama Duta Besar Republik Korea di Malaysia, TYT Lee Chi Beom.
Antara pengisian konsert tersebut adalah lagu Pencak Bersulam yang digubah oleh Encik Mohd Yazid Zakaria, Konduktor OTM, khusus bagi konsert ATO. Turut dimainkan lagu- lagu tradisional negara-negara ASEAN lain.
Konsert mini ATO ini juga merupakan kesinambungan pemeteraian Memorandum Persefahaman (Memorandum of Understanding – MoU ) dalam bidang kebudayaan, seni dan warisan di antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Republik Korea pada 23 Disember 2020 yang lalu.
Perjanjian tersebut menjadi platform terbaik bagi kedua-dua buah negara dalam meningkatkan lagi kolaborasi dalam bidang kebudayaan selain berupaya memberi nilai tambah kepada pembangunan produk dan perkhidmatan bidang seni, budaya dan warisan negara melalui perkongsian ilmu dan kepakaran.