HAMPIR sebulan pemergian Raja Pop Michael Jackson (MJ). Namun, sampai saat ini, kisah kematiannya masih hangat diperkatakan. Malah, lebih banyak spekulasi yang timbul mutakhir ini. Belumpun selesai isu pengebumian MJ secara rahsia, sekarang muncul pula isu baru apabila bedah siasat mendapati kemungkinan besar kematian MJ berpunca akibat dibunuh. Tidak mustahil selepas ini, akan keluar pelbagai cerita yang tak masuk dek akal.
Walau bagaimanapun, ketika hayat MJ, tidak dapat dinafikan dia seorang penghibur yang hebat sehingga boleh menyatukan bangsa, membangkitkan kesedaran sivik hanya melalui pesanan yang di titipkan dalam muziknya.
Personaliti MJ itu sendiri yang menebal semangat patriotik dengan dirinya merangkumi gabungan kulit hitam dan kulit putih. Pengaruh penghibur yang sangat teliti soal muzik ini sangat luar biasa sehingga ke pemergiannya pada 25 Jun lalu memberi kesan kepada peminat seluruh dunia.
Jika majlis peringatan MJ di Amerika dilangsungkan di Staples Center, Los Angeles pada 7 Julai lalu, di Malaysia acara ini akan diadakan 7 Ogos ini, jam 8 malam di Auditorium Wisma Bentley Music, Mutiara Damansara.
Pengarah Urusan Homegrown Productions, Michael Christian Simon, berkata majlis itu diadakan sebagai tanda peringatan dan penghargaan artis Malaysia terhadap ikon muzik itu.
“Muzik MJ bukan saja memberi pengaruh yang cukup besar kepada peminat serta pendengar seluruh dunia tetapi juga rakyat dan artis tempatan. Justeru, Kami di Homegrown ingin mengajak orang ramai untuk memeriahkan lagi majlis peringatan ikon ini yang hadir menyentuh kehidupan dengan pelbagai cara,” katanya.
Michael menambah, artis yang terbabit pada acara itu nanti terdiri daripada band alternatif rock sehingga raggae iaitu Dejavoodoo Spells, Pure Vibracion, Love Me Butch sehingga penyanyi solo seperti Melissa Indot dan Ferhad termasuk penyanyi hip hop, Jim Hackman.
“Inilah nama yang sudah memberi persetujuan setakat ini. Ada beberapa lagi band yang kami undang seperti Hujan tapi kebanyakannya sedang sibuk menjalani promosi jelajah. Artis solo seperti Jaclyn Victor menunjukkan minat cuma jadualnya terlalu padat. Kami berharap lebih ramai yang akan mengambil bahagian,” katanya.
Berhubung kurangnya pembabitan artis terkenal seperti Datuk Siti Nurhaliza, sebaliknya acara itu lebih tertumpu kepada penggiat indie, Michael berkata, menjadi forte Homegrown mengetengahkan bakat baru daripada kelompok indie.
“Sekarang ini zaman kebangkitan artis indie sama ada secara berkumpulan mahupun solo. Lagipun, artis ‘mainstream’ senang untuk dapat publisiti berbanding mereka Mereka ini berbakat besar, justeru apa salahnya kami ketengahkan bakat mereka. Kenal Zee Avi? Dia juga artis indie tetapi kini berjaya mengukir nama di Amerika Syarikat dan satu-satunya artis Malaysia yang mengikat kontrak rakaman dengan syarikat rakaman di negara itu. Apa yang menariknya, semua yang terbabit dalam acara ini adalah peminat MJ sendiri. Pada malam itu nanti, semua artis yang terbabit akan menyanyikan lagu hit MJ. Rakaman program ini juga akan disiarkan menerusi 8TV,” katanya
Bagi yang berminat menyertai persembahan secara percuma ini, boleh melayari www.homegrownspace.com.my dan daftarkan nama anda sebagai tetamu VIP. Seramai 400 peserta terawal saja akan menerima tiket eksklusif.