Selepas kali terakhir mengadakan konsert di Dataran Putrajaya di sini, lima tahun lepas, penyanyi terkenal Maher Zain yang popular dengan lagu ‘InsyaAllah’ dan ‘For The Rest Of My Life’ akan kembali bertemu peminat tanah air pada konsert jelajahnya, Mac ini.
Konsert ‘Maher Zain Malaysia Tour 2019’ bakal bermula pada 9 Mac ini di Axiata Arena di Kuala Lumpur pada 9 Mac, sebelum diteruskan ke Stadium Pasir Gudang, Johor pada 15 Mac, SPICE Arena, Pulau Pinang pada 16 Mac dan Kota Kinabalu, Sabah, pada 17 Mac.
“Saya tahu ramai peminat yang menanti sejak sekian lama untuk saya datang ke sini,”
– Maher Zain
Maher, 37, penyanyi-penggubah lagu warga Sweden berketurunan Lubnan, berkata peminatnya di Malaysia seringkali memberi sokongan padu kepada kerjayanya dan beliau berharap konsert jelajahnya di negara ini berjaya.
“Selepas saya menghasilkan album pertama pada 2009, saya datang ke sini pada 2010 dan saya rasa ketika itulah nama saya mula menjadi sebutan ramai. Alhamdulillah… rakyat Malaysia sangat mesra pada saya,”
– Maher Zain
Semasa berada di negara ini, Maher ingin menikmati sate dengan kuah kacang kerana beliau begitu menggemarinya.
Maher, yang menghasilkan single terkini, Huwa AlQuran, tujuh bulan lepas, berkata konsert jelajah itu akan menampilkan pelbagai lagu popularnya dan beliau berharap peminat akan terhibur dengan persembahannya.
“Sewaktu saya di atas pentas, saya dapat melihat pelbagai emosi peminat, ada yang tersenyum, ada yang menitiskan air mata dan ada yang bagaikan sedang berfikir… mungkin berdoa,”
– Maher Zain
Maher turut merakamkan beberapa lagu popularnya dalam bahasa Melayu pada tahun 2011, iaitu InsyaAllah dan For The Rest Of My Life (Sepanjang Hidup).
Pada 2016, beliau datang ke Malaysia untuk mempromosikan album ketiganya yang dikenali sebagai ‘One’ dalam acara berskala kecil.
Kali akhir mengadakan persembahan di Malaysia sekitar 2016 sempena kelahiran album, One, penyanyi terbabit dijangka mempersembahkan lebih 20 lagu pada konsert selama dua jam itu.
“Pada setiap konsert, kami merancang untuk mengundang beberapa artis tempatan bagi sama-sama menjayakannya,”
–
Maher Zain sebelum ini cukup dikenali dengan lagu seperti Insha Allah, Thank You Allah, The Chosen One dan Palestine Will Be Free daripada album perdananya, terbitan 2009.
Semasa ditanya tentang kemungkinan menghasilkan sebuah album penuh lagu dalam bahasa Melayu, Maher berkata beliau belum ada sebarang perancangan, namun tidak menolak kemungkinan walaupun beliau tidak bertutur dalam bahasa Melayu.
Beliau juga menyanyi dalam bahasa lain, seperti Turki, Perancis dan Urdu.
Menjangkakan lebih 50,000 peminat akan hadir menonton persembahan terbabit, katanya, sehingga kini 35 peratus tiket yang boleh didapati di laman web www.tixmalaysia.com sudah pun terjual.