in ,

Konsert Lelaki Ini Anuar Zain di Hari Raya Ini

PROGRAM ISTIMEWA SEPANJANG HARI RAYA PERTAMA DI TV1

Dalam meraikan sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri ini pastinya semua stesen televisyen menjanjikan program-program terbaik mereka dalam usaha menyuntik kepuasan di kalangan penonton setia salurannya. Sambil menikmati juadah istimewa ketupat rendang dan berkumpul seisi keluarga, kesempatan paling bermakna apabila menonton variasi program-program menghiburkan terutama ketika hari pertama menyambut perayaan ini.

Justeru sepanjang Hari Raya pertama yang disambut pada 20 September 2009 (Ahad) ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menghidangkan variasi 5 program menarik iaitu Selamat Hari Raya Jiran Tetangga ( jam 10.05 pagi ), Citarasa Selebriti Bersama Dato’ Siti Nurhaliza ( jam 11.05 pagi ), Konsert Ahmad Nawab Goes To Life Centre ( jam 02.05 petang ), Syawal Di Hujung Senja ( jam 4.05 petang ) dan Konsert Anuar Zain ( jam 9.00 malam ) di TV1.

Bermula Selamat Hari Raya Jiran Tetangga, rancangan khas istimewa untuk Siaran Hari Raya Pertama yang membawakan sebuah kisah berlatarkan dua keluarga berjiran tetapi isteri masing-masing Kak Jah dan Kak Odah yang saling bermusuhan. Sementara suami mereka Salim dan Abdul dan anak lelaki mereka Rustam dan Zahid bersahabat baik tetapi terpaksa merahsiakan persahabatan mereka kerana tidak sanggup dengan kerenah si isteri/ ibu mereka yang suka bergaduh antara satu sama-lain.

Program muzikal komedi terbitan Unit Hiburan TV RTM ini menampilkan para barisan pelakon komedi dua generasi lama dan baru antaranya Saiful Apek, Raja Azura, Nabil, Datuk Aziz Satar, Syarifah Shahira, Norlia Ghani,Angah Raja Lawak, Along Cham, Diana Danielle, Imuda dan Accapan. Sitkom selama 1 jam 30 minit juga diselitkan dengan selingan lagu-lagu antaranya, Kopi Dangdut, Milik Siapakah Gadis Itu, Pandang-Pandang Jeling-Jeling dan Suara Takbir.

Jika sepanjang Ramadan lalu Dato’ Siti Nurhaliza menghidangkan menu-menu untuk juadah berbuka puasa, khas lebaran ini disiarkan pula Citarasa Selebriti Bersama Dato’ Siti Nurhaliza istimewa Hari Raya yang masih berkonsepkan menu pilihan untuk kesihatan namun menghidangkan menu istimewa hari raya. Siti akan memperkenalkan menu juadah raya bersama selebriti jemputan yang diundang.

Kepada anda yang tidak berpeluang menyaksikan Konsert Ahmad Nawab Goes To Life Centre, persembahan yang tersenarai mengisi kalendar Festival Muzik Kuala Lumpur 2009 yang diadakan Julai lalu, RTM turut membawakan konsert ini yang menampilkan Jamal Abdillah, Ramlah Ram, Syafinaz Selamat, Man Kidal dan Steve Thorton dan Koir Kebangsaan mengiringi persembahannya. Malah pastinya penonton dapat berkongsi kemeriahan yang turut dirasai sejumlah 1,500 orang yang menyaksikannya di Istana Budaya terbitan Unit Hiburan TV RTM ini.

Turut dikongsi sama program Syawal Di Hujung Senja terbitan RTM Sabah yang mengisahkan suka duka seorang warga tua yang bernama Pak cik Yassin berusia lingkungan 80-an. Dia membawa hati yang duka ke Rumah Warga Tua Sri Pritchard, Kinarut sejak setahun yang lalu. Dia kemudiannya membawa diri dari pengetahuan anak angkatnya kerana tidak mahu menjadi beban dan mungkin juga jiwanya tersiksa tatkala sikap anak menantu sendiri yang tidak pernah menghargai dan menghormatinya sebagai orang tua. Kisah hidupnya dikongsi bersama dengan teman senasib Pak cik Manaf yang telah 20 tahun terputus hubungan dengan anak dan saudara mara yang jauh di semenanjung tanah air.

Istimewanya menyusul Konsert Lelaki Ini Anuar Zain di Istana Budaya pada 1 dan 2 Julai  2009 lalu yang mendapat sambutan yang amat hangat dan untuk pertama kali semua tiket habis dijual. Apatahlagi Anuar Zain memiliki tarikan tersendiri dan peminat yang amat ramai. Menerusi konsert ini, Anuar menyampaikan 21 buah lagu sepanjang kira-kira 2 jam konsert berlangsung antaranya lagu-lagu retro seperti Penantian yang dipopularkan oleh Harmoni, Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta (Flybaits) dan Berdiri Seorang Perindu (Ibnor Riza). Selain lagu hitsnya Sesuci Cintamu, Mungkin, Kain Pelekat, Bila Resah, Lelaki Ini, Keabadian Cinta, Kau Bunga Cintaku, Teman Terulung, Permata, Ketulusan Hati, Perpisahan.

Jangan lupa berhibur sepanjang hari raya pertama ini dengan menjadikan TV1 sebagai saluran setia anda menyaksikan Selamat Hari Raya Jiran Tetangga (jam 10.05 pagi), Citarasa Selebriti Bersama Dato’ Siti NurHaliza (jam 11.05 pagi), Pentas Aidilfitri Konsert Ahmad Nawab (jam 02.05 petang), Syawal Di Hujung Senja (jam 4.05 petang) dan Konsert Anuar Zain (jam 9.00 malam) di TV1.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Saksikan Majalah 3 Kisah 3 Buah Negara Menjelang Syawal

Jawapan Trivia: Scha Al Yahya Pakai Kebaya Batik Moden