in ,

Konsert Lagenda 60-an Bersama Orkestra Tradisional Malaysia 2018

Konsert Lagenda 60-an bersama Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) yang menampilkan barisan penyanyi legenda Pop Yeh Yeh bakal diadakan di Istana Budaya (IB) pada 26 dan 27 Oktober ini, jam 8.30 malam.

Budiey kira konsert ini akan mengembalikan kenangan juga nostalgia serta membawa kegemilangan irama muzik itu di tempat yang sepatutnya.

Ini adalah kali keempat diadakan. Pastinya akan mengubat rindu sekalian peminat muzik era 60-an. Sudah tentu konsert ini dapat memenuhi permintaan yang tinggi terhadap persembahan lagu-lagu daripada zaman 60-an. Betul tak?

Konsert Lagenda 60-an bersama Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) yang menampilkan barisan penyanyi legenda Pop Yeh Yeh bakal diadakan di Istana Budaya (IB) pada 26 dan 27 Oktober ini, jam 8.30 malam.

Poster Konsert Lagenda 60an Bersama Orkestra Tradisional Malaysia

Barisan Penyanyi Konsert Lagenda 60-an Bersama Orkestra Tradisional Malaysia 2018

Konsert ini menampilkan barisan bintang legenda tempatan seperti Datuk A Rahman Hassan, Datuk Jeffrydin, Datuk L Ramli, A Rahman Onn, J Sham, Maria Bachok, S Mariam, A Rozaini serta Abon sebagai pengacara yang merancakkan majlis.

Ketua Pengarah IB, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, pihaknya menampilkan konsert Legenda 60-an kerana mahu mengangkat irama 60-an ke pentas IB supaya ia tidak hilang ditelan zaman, sekali gus menjadi acara tahunan .

“Kami yakin irama 60-an masih ada peminat tegar berdasarkan sambutan konsert terdahulu. Bermula dengan pementasan Teater Muzikal Suzana @60 pada 2006, konsert irama 60-an terus mendapat sambutan hangat daripada peminat apabila dipentaskan di IB.

“Kami tidak mahu irama ini mati begitu saja jika tiada penyanyi pelapis yang meneruskan kesinambungan penyanyi senior.

“Justeru, selepas penampilan Aiman Tino dalam konsert 60-an sebelum ini, kami merancang untuk menampilkan penyanyi popular seperti Faizal Tahir untuk bergabung dengan penyanyi 60-an pada penganjuran konsert tahun depan,” – Ketua Pengarah IB, Datuk Mohamed Juhari Shaarani

Penganjuran konsert tersebut juga boleh dianggap salah satu alternatif bagi menarik minat generasi mudah agar lebih menghargai muzik pada era berkenaan dan tidak melupakannya dalam arus perkembangan moden.

Sementara itu, bagi Jeffrydin yang bakal mendendangkan lima buah lagu bagi dua malam persembahan berlangsung memberitahu, dia berasa teruja untuk kembali berkongsi pentas dengan rakan-rakan seperjuangan yang lain.

Abon

Pelantun lagu Siti Haidar itu kini sedang sibuk membuat persiapan bagi konsert tersebut termasuk berkenaan pemilihan pakaian yang akan digayakan agar bersesuaian dengan fesyen terkini.

“Saya seorang yang mementingkan penampilan agar selari dengan fesyen semasa dan dalam masa sama tidak menghilangkan identiti 60-an itu sendiri.

“Berkenaan pemilihan lagu, saya hanya menurut permintaan Istana Budaya yang telah menyediakan senarai kerana tahu ia juga merupakan kehendak peminat,” – Jeffrydin

Penonton akan disajikan dengan 42 buah lagu termasuk beberapa lagu popular antarabangsa seperti She Loves You (The Beatles), Dekho Abto (Janwar) dan lagu popular setiap penyanyi selama dua jam persembahan.

Tambah menarik, peminat yang hadir pada malam persembahan dengan pakaian mengikut tema 60-an akan menerima hadiah istimewa daripada pihak Istana Budaya.

Tunggu apa lagi? Dah dapatkan tiket anda?

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Netflix Lancar Trailer & Poster Pertama YOU

Alif dan SonaOne Lancar Muzik Video Kolaborasi Berjudul OBVIOUS