TIADA PENYINGKIRAN PADA KONSERT KEDUA IK4!
Setelah menyaksikan kehebatan konsert pertama, kesemua para penonton memang tertunggu-tunggu untuk menyaksikan konsert kedua IK4 yang telah berlangsung pada Sabtu lepas. Untuk konsert kedua ini, 11 peserta telah meneruskan perjuangan mereka untuk terus berjuang dalam Idola Kecil 4. Konsert ini menjadi lebih istimewa apabila tema Ketuhanan & Motivasi diangkat dan diterapkan dalam setiap lagu nyanyian peserta.
Yang pastinya, malam tersebut lebih hebat dan mengejutkan apabila tiada peserta yang tersingkir dan sekaligus memberi lebih peluang untuk mereka memperbaiki persembahan pada masa akan datang. Masih di bawah bimbingan tiga guru berpengalaman iaitu, Cikgu Alfa Booty (komposer), Cikgu Delly (vokal) dan Cikgu Affizal (tarian), persembahan minggu ini telah membawa kelainan dengan tema yang telah dipilih.
Juri yang telah menghakimi para peserta pada malam tersebut adalah Aishah, Ferhad dan Hafiz Hamidun. Manakala Atilia pula membuat penilaian kesemua peserta yang berlatih di dalam kelas vokal dan tarian.
Berikut adalah barisan peserta Idola Kecil 4 dan lagu-lagu yang dinyanyikan pada konsert kedua:-
1. Ahmad Marzuki B Nordin 10 John Kelantan Bila Waktu Telah Berakhir
2. Hairul Asri B Alis Sjofjan 12 Hairul Kuala Lumpur Andai Ku Tahu
3. Irfan Haris B Othman 10 Irfan Johor PadaMu ku Bersujud
4. Mohd Syafiqri B Kaharudin 10 Syafiq Johor Kembara Di Tanah Gersang
5. Farisha Bt Asmadi 12 Irish Selangor Ketika Cinta Bertasbih
6. Nabihah Bt Idrus 12 Abby Melaka Tahajjud Cinta
7. Nurfazlina Bt Ramlan 12 Nina Selangor Ingatlah Allah
8. Nurshazleen Natasha Bt Jamaluddin 11 Leen Selangor InsyaAllah
9. Sarah Elyssa Bt Khairul Fahmy 11 Shasha Negeri Sembilan Mentari Merah Di Ufuk Timur
10. Sharifah Nurhafifa Bt Wan Aziz 12 Fifa Selangor Erti Hidup
11. Sharifah Rusilmu Imani Bt Syed Hussain 11 Rusil Selangor Doa
Konsert kedua ini memang lebih mencabar dengan lagu-lagu yang agak susah untuk dibawa tetapi keyakinan dan semangat yang ada pada diri setiap peserta telah membuahkan hasil yang membanggakan. Lagu-lagu yang dipersembahkan oleh mereka ini juga tersilat nilai-nilai murni mendekatkan diri dengan Allah SWT serta menjauhi laranganNya.
Persembahan Haikal dengan lagu “Bila Waktu Berakhir” bertambah sayu dan istimewa dengan iringan violin dan penyampaian sajak istimewa daripada Ahmad Fedtri Yahya.
Syafiq juga turut memberikan persembahan yang cukup bertenaga dengan lagu “Kembara di Tanah Gersang”. Walaupun mengikut juri, lirik lagu ini agak susah untuk difahami oleh kanak-kanak seperti Syafiq, namun terdapat kejujuran ketika dia menyanyikannya. Ditambah lagi dengan ibu bapa Syafiq yang mengejutkannya ketika tiba-tiba mereka muncul di atas pentas ketika dia selesai menyanyi. Dari raut wajah ibu bapanya, memang terpancar rasa kebanggaan dan harapan yang tidak putus-putus untuk anak lelaki mereka itu.
Rusil sekali lagi tidak menghampakan para juri dan penonton apabila dia telah menyampaikan lagu “Doa” dengan begitu hebat sekali. Kesemua juri memberi komen positif kepadanya dengan mengatakan vokal yang dimilikinya begitu mantap. Persembahan Rusil sejak konsert pertama begitu konsisten dan hebat apatah lagi di usia yang sangat muda. Sementara itu, juri jemputan Aishah, telah memuji Fifa dari Shah Alam, dengan mengatakan bahawa vokalnya boleh menewaskan ramai orang dewasa yang lain.
Untuk mengetahui perkembangan dan maklumat lanjut mengenai konsert dan peserta Idola Kecil 4, layari laman web rasmi IK4 di www.tv9.com.my/idolakecil4 atau laman Facebook rasmi Idola Kecil 4 iaitu www.facebook.com/IdolaKecil4. Selain daripada itu, anda juga boleh sentiasa mendengar maklumat terkini IK4 menerusi Geng Radio IK4 iaitu Hot FM.
Apa pula kejutan yang bakal disaksikan pada minggu hadapan? Siapakah yang akan meneruskan perjuangan dan siapakah yang bakal tersingkir dari pentas Idola Kecil 4? Jikalau anda mahukan jawapannya, pastikan anda menonton Konsert Mingguan Idola Kecil 4 pada hari Sabtu jam 9 malam di saluran “Di Hatiku” TV9.