Konsert dimulakan dengan persembahan pembukaan oleh kumpulan Arjuna. Membawakan lagu- lagu hits seperti Kenangan Terindah, Mungkin Nanti, Kekasih Gelapku, Januari, Peri Cintaku dan Hapus Aku, sudah cukup untuk membuat peminat teruja dan turut sama menyanyi. Jeritan peminat dan tepukan gemuruh kedengaran sebaik sahaja Afgan muncul. Dimulakan dengan lagu Jalan Terus, Afgan mendendangkan 16 buah lagu di konsert ini termasuk duet bersama Dato’ Sheila Majid menerusi lagu “Bawalah Cinta” dan “Begitulah Cinta”. Kolaborasi kedua-dua penyanyi terkemuka ini berjaya mencipta magis tersendiri dan penonton seakan dibuai perasaan tatkala mendengar nyanyian tersebut.
Ternyata penyanyi kelahiran Jakarta ini memberikan kelainan dari konsert yang pernah diadakan sebelum ini. Membawakan tema Inspirasi pada konsert kali ini, Afgan berharap peminat dapat rasa suntikan semangat untuk terus berusaha dan mengejar impian.
Bersesuaian juga dengan tema, impian Afgan untuk membuat persembahan bersama idola beliau di konsert di Kuala Lumpur kini tercapai. “Dato’ Sheila Majid bersama mengadakan persembahan di konsert ini cukup istimewa dan merupakan satu penghormatan buat saya”. Ini juga merupakan konsert terakhir Afgan sebelum berehat seketika dari membuat konsert kerana ingin menumpukan sepenuh perhatian terhadap penghasilan karya baharu yang lebih segar selepas kejayaan mengadakan siri Konsert DEKADE di Malaysia tahun lalu dan di Indonesia tahun ini.
Manakala bagi Ketua Pegawai Eksekutif Popcorn Studio Sdn Bhd, Encik Erik Ong, beliau berpuas hati dengan sambutan peminat terhadap konsert ini. “Sambutan yang diterima cukup luar biasa, ini dapat dilihat menerusi penjualan tiket konsert yang habis dijual”.
Ini memberikan suntikan semangat buat Popcorn Studio Sdn Bhd untuk terus membawa dan menganjurkan persembahan yang lebih baik dan bertaraf antarabangsa.
Popcorn Studio Sdn Bhd juga telah menganjurkan tiga peraduan menerusi media sosial buat peminat setia Afgan iaitu “Tag & Win” (2 tiket VIP), Smule “Bintang Inspirasi” (2 tiket Gold dan berpeluang bertemu Afgan) dan “Tag & Share” (2 tiket Silver) dan sambutan yang diterima amat menggalakkan.
Di lokasi konsert, peminat yang hadir turut disediakan pilihan makanan dan minuman sementara menantikan konsert bermula. Paling istimewa menu Inspirasi Durian Cendol daripada Durian King TTDI. Popcorn Studio Sdn Bhd, konsert ini turut mendapat tajaan dan kerjasama dari HGH Convention Centre, Durian King TTDI, Ganad, Redbox dan Greenbox.
Konsert Inspirasi Afgan Live di Kuala Lumpur 2019 ternyata memberi satu kepuasan dan kolaborasi beliau bersama Dato’ Shiela Majid ternyata impian yang amat dinantikan para peminat muzik di Malaysia, Indonesia dan Brunei.
Terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan Konsert Inspirasi Afgan Live di Kuala Lumpur 2019. Nantikan acara seterusnya dari Popcorn Studio Sdn Bhd.