Tidak ketinggalan beberapa penganjuran konsert berskala besar yang dianjurkan bermula Mei lalu membabitkan beberapa penyanyi terkenal, termasuklah dari luar negara. Sekali gus memberi bayangan sokongan padu peminat masih ada.
Terbaharu, Konsert Hype Night In Kuala Lumpur 2022 yang dianjurkan oleh NJ Setia bakal diadakan di KWC StarXpo Kuala Lumpur pada 23 Oktober 2022.
Konsert Hype Night In Kuala Lumpur bakal menampilkan kolaborasi hebat penyanyi dari dua negara Malaysia dan Indonesia. Dari Malaysia, Ezad Lazim, Amir Masdi dan Najwa Latif.
Sementara dari Indonesia pula barisan penyanyi yang tular dan mempunyai lebih 15 juta pengikut di media sosial seperti Tri Suaka, Nabilah Maharani, Zidan, Angga Candra dan Valdy Nyok.
Penganjur NJ Setia berkata, pihaknya mengambil peluang dalam membentuk sebuah konsep persembahan kolaborasi antara influencer Indonesia dan Malaysia yang segar dan sesuai dengan peredaran industri muzik serantau.
“Selaku penganjur konsert ini kami mahu membuka mata banyak pihak. Dengan semangat, tiada perkara yang mustahil, NJ Setia membawa kumpulan penyanyi dari Yogyakarta dan Jakarta, Indonesia untuk berada di atas pentas bersama penyanyi tersohor Malaysia.
“NJ Setia bijak mengambil peluang dalam membentuk sebuah konsep persembahan kolaborasi antara influencer Indonesia dan Malaysia yang segar dan sesuai dengan peredaran industri muzik serantau.
“Konsert Hype Night In Kuala Lumpur juga akan menjadi acara berkumpul bagi influencer, Youtubers dan insta famous meraikan kolaborasi terbaik tahun ini antara penyanyi Malaysia dan Indonesia. Ini adalah pentas persembahan vokal serumpun,”
– Penganjur NJ Setia
Menurut pihak penganjur juga, konsert ini adalah ruang terbaik penyanyi dari Indonesia membuktikan kemampuan sebenar mereka untuk menghiburkan penonton dan peminat dari Malaysia, Singapura dan Brunei.
Bagi penyanyi dari Indonesia, Nabilah Maharani yang popular menerusi lagu Bila Nanti, dia sangat gembira apabila diberi peluang untuk beraksi dan membuat persembahan di Malaysia.
Nabilah berkata, dia juga tidak sabar untuk menyanyikan lagu Bila Nanti pada persembahan itu nanti.
“Tentu saja lagu Bila Nanti adalah lagu wajib untuk dinyanyikan. Selain itu ada persembahan istimewa duet dan kolaborasi bersama penyanyi Malaysia. Jadi, saya mahu mengajak semua untuk meriahkan lagi konsert ini,”
– Nabilah Maharani
Sementara itu, Amir Masdi berkata, pemilihannya untuk konsert yang menggabungkan penyanyi Malaysia dan Indonesia ini satu perkara yang unik untuk penonton.
“Dari segi penyanyi pula saya rasa kita dapat suasana yang baru di pentas sebab ada penyanyi dari Malaysia dan Indonesia. Jadi, kehadiran kami ini akan memberikan tenaga dan ‘vibe’ yang berbeza. Kita boleh juga belajar antara satu sama lain. Mungkin cara mereka buat persembahan dan interaksi dengan penonton.
“Saya rasa gembira dan tak sabar untuk merasakan suasana baru di pentas itu. Apa yang membuatkan saya menerima tawaran ini kerana ia adalah satu konsert yang unik dan sudah tentu saya suka. Saya tak nak lepaskan peluang ini untuk buat persembahan dan tunjukkan kepada penonton Malaysia serta Indonesia.
“Saya juga berpeluang untuk berjumpa penyanyi dari Indonesia untuk bertukar informasi dalam muzik. Memandangkan ini konsert pertama di mana peminat perlu membeli tiket, jadi saya terus berkongsi di media sosial.
Persiapan untuk persembahan macam biasa, saya hanya perlu cukup rehat, cukup makan dan pastikan kesihatan baik untuk hari persembahan itu. Saya belum tentukan lagu apa yang bakal dinyanyikan, mungkin lagu sendiri dan lagu ‘cover’ pun ada,”
– Amir Masdi
Peminat dan penonton yang hadir pada Konsert Hype Night In Kuala Lumpur 2022 nanti
bakal disajikan dengan persembahan solo dan duet dengan 18 lagu di bawah pimpinan pengarah muzik Along Exists.
Tiket menyaksikan konsert ini boleh didapati menerusi laman web www.tiket2u.com.my.