Kuala Lumpur bakal menyaksikan satu peristiwa bersejarah dalam dunia hiburan apabila Live Universe, penganjur konsert tersohor, mengumumkan penganjuran konsert K-Pop mega pertama di Stadium Merdeka. Yang menjadikan acara ini lebih istimewa, konsert pada 14 Jun 2025 ini akan menampilkan dua nama besar industri K-Pop iaitu (G)I-DLE dan BamBam dari GOT7.
Bukan sekadar konsert biasa, acara ini adalah satu penanda aras baharu dalam landskap hiburan di Malaysia, menggabungkan lokasi bersejarah, barisan artis bertaraf dunia, serta pengalaman visual dan audio yang pasti meninggalkan kesan mendalam buat peminat.
Konsert K-Pop Pertama Di Stadium Merdeka Bakal Gegarkan Malaysia. Satu Detik Bermakna Di Lokasi Ikonik Negara
Pemilihan Stadium Merdeka sebagai venue utama konsert bukanlah sekadar pilihan biasa. Stadium ini bukan sahaja terkenal dengan seni bina bersejarah dan kepentingan nasional, malah ia juga simbol kemerdekaan dan perpaduan rakyat Malaysia. Apabila konsert ini dilangsungkan di sana, ia memberi nafas baharu kepada warisan negara dalam bentuk hiburan moden, sekaligus mengangkat martabat industri muzik tempatan di mata dunia.
Menurut wakil dari Live Universe, “Kami berdedikasi untuk membawakan pengalaman yang tiada tandingan kepada peminat K-Pop di Malaysia. Sebagai tuan rumah kepada (G)I-DLE dan BamBam di Stadium Merdeka, acara ini bukanlah sekadar konsert, tetapi ia adalah pencapaian bersejarah yang akan dikenang untuk tempoh yang panjang.”
(G)I-DLE: Gandingan Gaya, Suara Dan Kejutan Kreatif
Ditubuhkan pada tahun 2018 di bawah naungan Cube Entertainment, kumpulan wanita popular (G)I-DLE telah mendunia dengan gaya muzik tersendiri dan persembahan bertenaga. Dianggotai oleh Miyeon, Minnie, Soyeon, Yuqi dan Shuhua, kumpulan ini mencipta fenomena melalui pelbagai lagu hit yang meraih pujian dari dalam dan luar negara.
Single debut mereka, “Latata” dari album I Am, membuka jalan buat mereka menakluki carta muzik global. Kejayaan demi kejayaan terus menyusul menerusi album seperti I Trust dan I Never Die, dengan lagu “Oh My God” dan “Tomboy” menjadi antara lagu paling dominan di Korea dan antarabangsa.
Menariknya, “Tomboy” berjaya menjuarai Carta Digital Gaon Korea Selatan dan Billboard K-pop Hot 100, membuktikan kekuatan kreativiti dan impak mereka. Album I Never Die juga terpilih dalam senarai “The Best Albums of 2022” oleh majalah Time, satu pengiktirafan yang jarang diberikan kepada artis Asia.
BamBam: Ikon Gaya Yang Kian Matang Dalam Muzik Dan Fesyen
Tidak perlu diperkenalkan lagi, BamBam, ahli kumpulan GOT7, kini melakar karier solo yang lebih matang dan berkarisma. Mula mencipta nama pada tahun 2014 bersama GOT7 di bawah JYP Entertainment, BamBam menjadi kegilaan peminat kerana personalitinya yang menyerlah dan gaya pentas yang memukau.
Pada tahun 2021, beliau melancarkan EP solo pertama bertajuk “riBBon”, menampilkan bunyi dan mesej yang lebih peribadi dan kreatif. Lagu utama “riBBon” bukan sahaja simbol kelahiran semula, malah menunjukkan kematangan beliau sebagai artis solo, dengan penglibatan sendiri dalam penulisan dan penciptaan lagu.
Selain muzik, BamBam turut menjejak langkah ke dunia fesyen dengan pelancaran jenama doubleB pada tahun 2017, serta dilantik sebagai duta rasmi jenama mewah Louis Vuitton pada Februari 2024. Ini membuktikan beliau bukan sahaja berbakat dalam muzik, tetapi juga ikon dalam dunia fesyen antarabangsa.
Cabutan Bertuah Eksklusif Dengan Hadiah Yang Luar Biasa
Live Universe turut memperkenalkan satu cabutan bertuah eksklusif buat pembeli tiket awal, menjadikan konsert ini bukan sahaja satu acara hiburan tetapi peluang memenangi hadiah impian.
Bagi 10,000 pembeli pertama tiket kategori CAT1, CAT2 atau CAT3, anda akan secara automatik berpeluang memenangi sebuah kereta mewah Toyota Vellfire – sebuah ganjaran lumayan untuk meraikan semangat peminat tegar.
Sementara itu, 5 pemenang bertuah dari kalangan 10,000 pembeli pertama tiket CAT4, CAT5, atau CAT6 pula akan membawa pulang iPhone 16 baharu, menjadikan acara ini lebih daripada sekadar konsert biasa.
Pemenang akan diumumkan pada hari konsert dan akan dihubungi oleh pihak penganjur. Tertakluk kepada terma dan syarat.
Maklumat Jualan Tiket Dan Diskaun Menarik Untuk Early Bird
Tiket akan mula dijual secara eksklusif di Ticket2U.com.my bermula 16 April 2025 jam 12 tengah hari. Peminat yang membuat pembelian awal berpeluang menikmati diskaun 10% daripada harga asal tiket.
Berikut adalah senarai harga tiket:
- CAT 1 (BERDIRI):
Belian Awal: RM988
Harga Biasa: RM1,098 - CAT 2 (BERDIRI):
Belian Awal: RM767
Harga Biasa: RM852 - CAT 3 (BERDIRI):
Belian Awal: RM603
Harga Biasa: RM670 - CAT 4 (TIDAK BERNOMBOR – KAWASAN BUMBUNG):
Belian Awal: RM500
Harga Biasa: RM556 - CAT 5 (TIDAK BERNOMBOR):
Belian Awal: RM367
Harga Biasa: RM408 - CAT 6 (TIDAK BERNOMBOR):
Belian Awal: RM265
Harga Biasa: RM294
Dengan barisan artis bertaraf antarabangsa, lokasi yang penuh nilai sejarah serta hadiah lumayan untuk peminat bertuah, konsert ini dijangka mencipta fenomena baharu dalam kalendar hiburan Malaysia.
Apa Kata Budiey?
Sebagai seorang yang telah lama mengikuti dunia hiburan dan budaya pop Korea, Budiey melihat konsert ini bukan sekadar acara hiburan semata-mata. Ia adalah lambang kematangan industri hiburan negara dalam menganjurkan acara mega bertaraf antarabangsa. Stadium Merdeka sebagai venue juga membawa aura sentimental dan kebanggaan nasional, menjadikan pengalaman menonton bukan sahaja meriah, tetapi juga penuh makna.
Kehadiran (G)I-DLE dan BamBam pula membuka ruang kepada peminat Malaysia untuk merasai getaran langsung dari pentas K-Pop tanpa perlu terbang ke Korea. Ditambah dengan cabutan bertuah dan pelbagai tawaran menarik, Budiey yakin konsert ini akan menjadi highlight tahun 2025 dalam kalangan peminat K-Pop di Malaysia dan rantau Asia Tenggara.
Kalau anda memang peminat tegar K-Pop, ini adalah peluang keemasan yang wajib disambar. Tiket pasti akan habis dalam masa singkat, jadi pastikan anda bersedia pada 16 April nanti untuk jadi antara yang pertama mendapatkan tempat!