in , ,

Konsert FANTASIA BULAN SALJU Search Pada 12 Ogos 2023 di Arena of Stars

* Dibawakan oleh MIC Entertainment Group yang berpengalaman besar dalam penganjuran konsert artis antarabangsa, SEARCH (Amy, Hillary Ang, Nasir dan Man Kidal) dipilih sebagai artis dan kumpulan rock tempatan pertama diberi kepercayaan penganjur untuk mengadakan konsert solo di dewan acara penuh berprestij tersebut

SEARCH berjanji akan menghangatkan lantas memecah kedinginan alam di Arena of Stars, Resorts World Genting dengan persembahan bertenaga, dan tiket-tiket akan mula dijual bermula Selasa depan, 16 Mei 2023.

SEARCH yang dianggotai oleh Amy, Nasir, Hillary Ang dan Man Kidal hari ini mengumumkan secara rasmi bahawa ia akan menganjurkan satu lagi konsert bersejarah yang dinamakan KONSERT FANTASIA BULAN SALJU pada 12 Ogos 2023 (Sabtu) bertempat di Arena of Stars, Resorts World Genting. Dibawakan oleh MIC Entertainment Group yang berpengalaman besar dalam penganjuran konsert artis-artis bertaraf antarabangsa di dewan acara yang berprestij itu seperti Super Junior – D&E (Korea), Jeff Chang (Taiwan), Liza Wang (Hong Kong) dan Michael Learns to Rock (Denmark), pemilihan SEARCH sebagai artis dan kumpulan rock tempatan yang pertama diberi peluang ini oleh syarikat penganjuran tersebut adalah berdasarkan pelbagai faktor. Salah satunya adalah SEARCH masih lagi dianggap sebagai kumpulan rock nombor satu di Malaysia oleh peminat muzik genre tersebut.

Konsert FANTASIA BULAN SALJU Search Pada 12 Ogos 2023 di Arena of Stars

“Sejak ditubuhkan pada tahun 80an sehinggalah ke hari ini, SEARCH tidak putus-putus diberi kepercayaan oleh penganjur acara bertaraf antarabangsa untuk menghiburkan para peminat kami di rantau ini.  Tanggungjawab ini sungguh berat, lebih-lebih pada masa kini di mana peminat muzik lebih sofistikated. Namun demi legasi dan peminat-peminat samada yang lama mahupun dari generasi baru, kami berempat tidak jemu untuk terus berkarya. Setiap konsert kami mempunyai keunikan tersendiri serta berbeza dari konsert yang sebelumnya.  KONSERT FANTASIA BULAN SALJU juga tidak terkecuali. Nama konsert ini diambil dari salah satu lagu paling popular SEARCH iaitu ‘Fantasia Bulan Madu’ yang kami ubah menjadi FANTASIA BULAN SALJU”, jelas Nasir yang juga merupakan di antara anggota kumpulan SEARCH yang terawal.

KONSERT FANTASIA BULAN SALJU bukan konsert biasa yang diadakan sekadar untuk memenuhi permintaan. Ia adalah bukti bahawa setelah empat dekad SEARCH lalui segala pahit manis serta cabaran hebat industri muzik, karier SEARCH terus kukuh dan kami kekal relevan”, kata Amy selaku vokalis utama SEARCH. 

“Satu lagi keunikan KONSERT FANTASIA BULAN SALJU pada Ogos ini adalah venue konsert itu sendiri.Bertempat di pusat pelancongan tanah tinggi negara yang amat popular iaitu Resorts World Genting. Peminat-peminat SEARCH bukan sahaja dapat menonton konsert dalam kenyamanan cuaca dingin semula jadi malah Arena of Stars juga menjadi pilihan begitu ramai artis-artis dari serata dunia kerana ia mempunyai segala fasiliti bagi penganjuran konsert bertaraf antarabangsa. SEARCH seringkali menekankan bahawa kejayaan sesuatu konsert itu bergantung kepada pelbagai faktor seperti keselesaan, kualiti peralatan bunyi dan visual, keselamatan, harga tiket yang berpatutan, gaya di atas pentas, dan lain-lain lagi”, ujar Amy yang begitu dikenali bukan sahaja peminat muzik malah peminat fesyen di rantau Asia kerana keberaniannya untuk bereksperimen dengan gaya-gaya berani.

Untuk pengetahuan lanjut, Arena of Stars, Resorts World Genting berkapasiti 5,000 orang dilengkapi dengan ciri-ciri concert hall terbaik setaraf dengan dewan konsert lain di Asia. Selain acara malam anugerah bagi meraikan industri hiburan tanahair dan lain-lain lagi, dewan berprestij tersebut jarang sekali menyaksikan penganjuran sebuah konsert solo artis tempatan secara besar-besaran. Setelah mencatat rekod sebagai artis pertama mengadakan konsert solo di Zepp KL tahun lepas dengan konsert Endemik, nampaknya SEARCH sekali lagi melakar sejarah menjadi artis tempatan pertama dibawa oleh MIC Entertainment Group untuk mengadakan konsert solo di Arena of Stars.

Konsert FANTASIA BULAN SALJU Search Pada 12 Ogos 2023 di Arena of Stars

MIC Entertainment Group sebagai penganjur KONSERT FANTASIA BULAN SALJU menyatakan bahawa sudah tiba masanya mereka mengenengahkan artis-artis tempatan untuk mengadakan konsert di Arena of Stars,  Resorts World Genting. Brian Lim, Ketua Pegawai Eksekutif, MIC Entertainment Group, berkata, “Kami amat berbangga dengan kolaborasi hebat tiga penjuru di antara SEARCH, MIC Entertainment Group dan Arena of Stars ini. Arena of Stars bolehlah dikatakan sebagai jenama global dan SEARCH sebagai sebuah kumpulan rock legenda terunggul adalah pilihan paling tepat pihak kami untuk mengadakan konsert solo artis tempatan pertama di venue tersebut. Saya percaya, dengan sokongan kuat dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi peminat-peminat SEARCH terutamanya di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei, maka KONSERT FANTASIA BULAN SALJU ini pasti dinobatkan sebagai konsert paling epik tahun ini justeru melakar sejarah di dalam lipatan industri seni tanahair terutama scene rock n roll”. 

Jelas Amy lagi menutup bicara, “Bersama-sama dengan Nasir, Hillary dan Man Kidal, kami tidak sabar untuk bertemu dengan semua peminat-peminat SEARCH dan menghangatkan suasana dingin Arena of Stars, Resorts World Genting dengan lagu-lagu signature SEARCH yang bukan sahaja diminati ramai malah berjaya merentas generasi. Kami juga ada beberapa kejutan untuk anda semua jadi jangan lupa dapatkan tiket-tiket anda bermula 16 Mei 2023 .Jumpa di Arena of Stars pada 12 Ogos ini! Phewiittt!”. 

Tiket KONSERT FANTASI BULAN SALJU akan mula dijual pada 16 Mei 2023 (Selasa) dari jam 12 tengah hari dan seterusnya. Harga tiket bermula dari RM128.00 sehinggalah RM388.00 (VIP Fantasia) tidak termasuk caj untuk pemprosesan. Berita baik bagi kesemua pemegang tiket VIP, mereka berpeluang untuk menghadiri sesi Meet & Greet bersama SEARCH, dan dapat membawa pulang poster yang ditandatangani sendiri oleh ahli kumpulan SEARCH.  Layari laman sesawang rwgenting.com dan my.bookmyshow.com untuk maklumat lanjut berkenaan cara-cara pembelian tiket.  

#SEARCH2023#KONSERTFANTASIABULANSALJU #SEARCHLIVEATARENAOFSTARS

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Senarai 10 Program Teratas Yang Anda Tidak Boleh Terlepas di Qalbox! 

MIERUL AIMAN

Ramai Tak Keruan Tengok Mierul Aiman Tayang Sixpack di Instagram