Neptunes Presents mempersembahkan konsert berprestij, D’Masiv 20AD To The World – Live In Kuala Lumpur yang dianjurkan buat julung kali khusus untuk meraikan sambutan ulang tahun ke-20 perjuangan legasi muzik.
Konsert D’Masiv 20AD To The World bakal menggegarkan lokasi berprestij, Zepp Kuala Lumpur pada 2 Jun depan.
D’Masiv dianggotai Rian Ekky Pradipta selaku vokalis, Dwiki Aditya Marsall (gitar), Nurul Damar Ramadan (gitar), Rayyi Kurniawan,Iskandar Dinata (bass) dan Wahyu Piadji (dram).
Menerusi temubual secara virtual, Rian berkata, mereka kini sibuk membuat persiapan untuk menjayakan konsert berkenaan.
“Beberapa bulan lalu, saya sempat menulis ciapan di Twitter dan ramai peminat yang inginkan kami hadir ke Malaysia untuk mengadakan konsert. Jadi, itu membuatkan kami sangat teruja untuk mengadakan persembahan di sini.
“Sebelum ini, kami sudah beberapa kali hadir ke Malaysia, tetapi sekadar mempromosikan album dan sebagainya. Kalau buat persembahan pun, tampil bersama pemuzik lain seperti Nidji dan Geisha.
“Justeru, konsert ulang tahun ke-20 ini akan menjadi taruhan pertama kami di Malaysia. Kami teruja akhirnya dapat bertentang mata dengan peminat yang menyokong D’Masiv selama ini,” katanya.
D’Masiv bakal menghiburkan peminat menerusi antara 23 hingga 25 rangkaian lagu popular seperti Pergilah Kasih, Cinta Sampai Di Sini, Merindukanmu, Jangan Menyerah dan Cinta Ini Membunuhku.
Mengenai tema konsert, kata Rian, mereka mengangkat tema jelajah dunia untuk persembahan kali ini, sekali gus menyediakan susunan muzik berbeza mengikut kesesuaian peminat.
“Secara kebetulan, kami mahu mengadakan siri jelajah ke beberapa negara, tahun ini. Jadi, Malaysia akan menjadi negara pertama, kemudian disusuli negara lain seperti Indonesia, Australia dan Amerika Syarikat.
“Ada beberapa lagu dilakukan susunan muzik semula agar berbeza daripada versi asal. Tetapi, ada juga lagu yang akan dipersembahkan dalam versi asal untuk memenuhi permintaan peminat.
“Kami yakin peminat di Malaysia akan bersama menyanyikannya di pentas Zepp Kuala Lumpur,” katanya.
Walaupun sudah dua dekad berkecimpung dalam industri muzik, D’Masiv bersyukur masih diterima baik oleh peminat pelbagai generasi.
“Di Indonesia, kami sering bermain di festival muzik seperti Pentas Seni yang rata-rata penontonnya di kalangan pelajar sekolah menengah.
“Kami terkejut walaupun usia antara 15 hingga 17 tahun, mereka tahu lagu D’Masiv. Mungkin kerana lagu kami, jalan ceritanya sudah mula terkesan di hati mereka.
“Mungkin ada yang sudah mula sukakan seseorang, mula patah hati dan ada muncul rasa kerinduan kepada seseorang. Jadi, mungkin karya mula terkait dengan kisah mereka,” katanya.
Kata Rian, D’Masiv menggunakan platform media sosial untuk berinteraksi dengan peminat.
“Sekarang adalah era media sosial, jadi kami juga menggunakan platform ini dengan sebaik mungkin untuk berinteraksi. Mahu atau tidak, kami perlu mengikuti peredaran zaman.
“Ia sedikit sebanyak membantu untuk mendekatkan kami dengan peminat generasi baharu,” katanya.
Mengulas kolaborasi dengan artis Malaysia, D’Masiv sebelum ini pernah menyanyikan lagu Sahabat Selamanya yang juga lagu runut bunyi filem Boboiboy berkata, antara artis tempatan yang disenaraikan ialah Datuk Amy Search, Kugiran Masdo dan Bunkface.
“Jika di Indonesia, kumpulan popular sekarang adalah Kugiran Masdo. Memang nama mereka tular sekarang.
“Sebelum ini, kami pernah bekerjasama dengan Bunkface ketika menyanyikan lagu runut bunyi filem Boboiboy. Jadi, kalau ada peluang, kami mahu bekerjasama lagi,” katanya.
Sementara itu, penganjur konsert yang juga aktres terkenal, Nabila Huda berkata, D’Masiv adalah salah satu kumpulan Indonesia diminati sejak dahulu lagi, namun tidak pernah berpeluang menyaksikan konsert mereka di Kuala Lumpur.
“2023 adalah ulang tahun D’Masiv ke-20, jadi Neptunes Presents ingin membawa kumpulan popular ini bagi meraikan perjalanan muzik dan mendekati peminat di Zepp Kuala Lumpur.
“Saya dan keluarga sempat bercuti ke Jakarta, Indonesia, awal tahun ini. Secara kebetulan, kami kami diundang oleh teman rapat untuk bertemu dengan vokalis D’Masiv, Rian.
“Namun, tujuan asal pertemuan hanya untuk berkenalan. Tiada perancangan pun melamar D’Masiv untuk mengadakan konsert di Kuala Lumpur.
“Bagaimanapun, pengurus D’Masiv amat teruja dengan penganjuran konsert pertama Senandung Malam membabitkan Payung Teduh X Pusakata dan Efek Rumah Kaca yang dibawakan Neptunes Presents pada November, tahun lalu.
“Dari situ, timbul idea sekiranya kami berminat berkolaborasi dengan D’Masiv dalam menganjurkan Senandung Malam Volume 2 di Kuala Lumpur,” katanya
Anak kepada rockers legenda, Amy Search itu berkata, D’Masiv akan muncul dalam persembahan selama 120 minit pada 2 Jun depan.
“Ini adalah kemunculan pertama D’Masiv di Kuala Lumpur. Jadi, sudah tentu pilihan lagu daripada album pertama sehingga album terbaharu yang akan disampaikan,” katanya.