in

Konsert Big Stage Minggu Ke-4 Bertemakan Cover Tapi Bukan Aku

Konsert Big Stage yang bertemakan ‘Cover Sama-Sama Up’ pada minggu lepas menyaksikan perjuangan peserta yang berasal dari Sabah, Andi Bernadee, 27, terkandas di pusingan ketiga. Andi juga sebelum ini tular selepas memuat naik lagu cover ‘Tak Tun Tuang’ di laman YouTube.

Sewaktu konsert tersebut, Andi memilih pasangan duet penyanyi Indah Ruhaila untuk menyampaikan lagu ‘Tak Pernah Hilang’ nyanyian asal oleh Kaer Azami & Amylea Azizan dari AF3.

Walaupun telah melakukan sehabis baik, namun persembahannya gagal memikat juri dengan markah 74.33% sekaligus meletakkannya di kedudukan tiga terbawah sebelum diumumkan tersingkir apabila menerima undian terendah menerusi aplikasi TikTok.

Penyingkiran ini ternyata mengejutkan ramai pihak termasuklah guru vokal program Big Stage, Ernie Zakri yang turut berasa kecewa dan terkilan dengan keputusan yang berlaku kerana menjangkakan Andi akan kekal sehingga ke pentas akhir. Malah menurut Ernie sendiri, dia sangat berharap juri profesional Datuk Seri Siti Nurhaliza atau Faizal Tahir melakukan sesuatu untuk menyelamatkan Andi. Namun, Ernie dan Andi redha dan akur dengan keputusan yang diumumkan.

Sementara itu, Sarah Suhairi yang berpasangan dengan Ismail Izzani untuk membawakan lagu ‘You Are The Reason’ yang dipopularkan oleh Calum Scott turut cemerlang apabila berjaya mengungguli kedudukan minggu tersebut dengan markah tertinggi daripada pihak juri sebanyak 83.67%. Selain Sarah, peserta lain yang masih meneruskan perjuangan dalam Big Stage minggu depan ialah Sissy Imann, Syafiq Farhain, Ariff Bahran, Baby Shima, Wani Kayrie, Afieq Shazwan dan Tajul.

Untuk konsert pusingan keempat pula, para peserta diberi cabaran untuk menyampaikan lagu-lagu di luar zon keselesaan yang bertemakan ‘Cover Tapi Bukan Aku’. Bagaimana pula bentuk persembahan mereka pada minggu ini? Adakah mereka mampu menyahut cabaran yang diberi? Sama-sama kita saksikan kelak.

Siaran Langsung Konsert Big Stage (Minggu Keempat) akan diadakan pada 26 Ogos 2018 (Ahad), jam 9.00 malam @ Dewan Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Peraduan Tayangan Premiere With Budiey Menonton Filem ALPHA

Elvira Mengulangi Kemenangan Buat Kali Kedua!