Jika artis lain teruja untuk menganjurkan konsert di lokasi lebih besar, namun Afgan atau Afgansyah Reza, 34, memberitahu dia pula berasa bimbang untuk beraksi di hadapan kapasiti penonton yang ramai.
Justeru itu, untuk konsert kali ini Afgan memilih Dewan Plenari Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sebagai lokasi Afgan Live In Concert With Orchestra yang bakal berlangsung pada malam Sabtu.
Afgan mengakui teruja apabila buat pertama kalinya bakal menjayakan konsert yang dipimpin orkestra dari Malaysia.
Afgan atau nama lengkapnya Afgansyah Reza ketika ditemui Kosmo! Online berkata, konsert Afgan Live In Consert with Orchestra yang bakal diadakan esok di Dewan Plenary Pusat Konvensyen Kuala Lumpur akan melibatkan kira-kira 25 orang pemuzik orkestra tempatan.
“Saya baru sahaja menjayakan konsert di sini (Malaysia) pada Disember tahun lalu dan di lokasi yang sama.
“Untuk konsert kali ini, saya akan tampil bersama pemuzik orkestra. Ini merupakan kali pertama persembahan saya di sini akan diiringi pemuzik dari Malaysia. Saya tidak sabar menjayakannya,” katanya.
Pada masa sama, penyanyi berusia 34 tahun itu turut memuji kualiti pemuzik orkestra Malaysia yang disifatkan hebat dan profesional.
“Saya hanya sempat menjalani sesi latihan bersama pemuzik Malaysia semalam. Sejujurnya saya memang kagum melihat kualiti yang dipamerkan mereka.
“Apa yang membuatkan saya kagum, pemuzik baru sahaja mendapat nota muzik untuk konsert saya dan mereka sudah boleh memainkannya dengan baik,” ujar Afgan.
Pelantun Terima Kasih Cinta itu yang ditemui semasa sidang media Afgan Live In Concert With Orchestra di sini, hari ini bakal membawakan sebanyak 25 buah lagu, termasuk lagu oleh penyanyi tempatan yang dirahsiakan.
Menariknya, untuk konsert kali ini, Afgan turut mengundang penyanyi terkenal Indonesia, Raisa yang turut memeriahkan persembahan esok.
Difahamkan, sebanyak 3,000 tiket konsert yang dibawakan oleh penganjur, Renjana Idea telah pun habis terjual.