Orange International, sebuah syarikat penganjur konsert terkenal yang sering menghadirkan persembahan muzik unik kepada peminat, dengan bangganya mengumumkan penganjuran konsert ‘A Night With Sumandak Stars – Ceritera Hatiku’. Acara ini diumumkan secara rasmi dalam majlis sidang akhbar eksklusif yang berlangsung di Sky Lounge, Tingkat 40, Hotel Tamu.
Konsert yang dijadualkan berlangsung pada 30 November 2024, jam 8:00 malam di Zepp, Kuala Lumpur, akan menggabungkan barisan penyanyi popular Malaysia yang berasal dari negeri Sabah, juga dikenali sebagai ‘Negeri di Bawah Bayu’. Antara artis yang bakal menyerikan pentas ialah Bella Astillah, Marsha Milan, Adira Suhaimi, Stacy Anam, Nikky Palikat, Wani Kayrie, dan Didi Astillah.
Penghargaan Kepada Bakat Sabah di Pentas Utama
Menurut Dato’ Mohd Fadzli Idrus, Ketua Pegawai Eksekutif Orange International, “Buat julung-julung kalinya, kami menghimpunkan semua penyanyi kelahiran Sabah yang terkenal di Malaysia dalam satu persembahan untuk menghiburkan para peminat tempatan.”
Beliau turut menekankan bahawa konsert ini merupakan satu penghormatan kepada bakat-bakat hebat dari Sabah. “Kami sangat berbangga dapat membawa tujuh artis ‘sumandak’ yang masing-masing telah meraih pelbagai pencapaian cemerlang dalam industri muzik tanah air. Ini adalah platform istimewa bagi mereka untuk menonjolkan bakat serta berkongsi karya mereka dalam sebuah acara yang belum pernah diadakan sebelum ini.”
Barisan Artis Ternama dan Pelapis Baharu yang Bersinar
Barisan artis yang bakal tampil dalam konsert ini bukan calang-calang nama. Bella Astillah, Marsha Milan, Adira Suhaimi, Stacy Anam, dan Nikky Palikat masing-masing mempunyai reputasi yang luar biasa dalam dunia seni hiburan Malaysia. Bella, misalnya, baru sahaja dinobatkan sebagai ‘Celebrity Of The Year’ di TikTok Awards Malaysia 2024. Sementara itu, Marsha, Adira, Stacy, dan Nikky telah memenangi pelbagai anugerah berprestij seperti Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) dan Anugerah Juara Lagu (AJL).
Menurut Dato’ Fadzli, pemilihan artis ini adalah berdasarkan pencapaian mereka yang membanggakan, termasuk pengiktirafan di pelbagai anugerah. “Artis-artis ini bukan sahaja terkenal dengan vokal mantap mereka, tetapi juga mempunyai pengaruh besar dalam industri muzik.”
Bagi pelapis baharu seperti Wani Kayrie dan Didi Astillah, Dato’ Fadzli menyatakan betapa pentingnya memberi mereka peluang untuk bersinar di pentas yang besar ini. “Konsert ini adalah platform terbaik untuk mereka menonjolkan bakat yang ada. Kami yakin mereka mampu memberikan persembahan yang tidak kalah hebatnya dengan artis-artis senior.”
Kejutan Istimewa Menanti Para Penonton
Orange International juga menjanjikan pelbagai kejutan istimewa bagi penonton yang hadir pada malam konsert nanti. “Kami mengalu-alukan semua peminat muzik, tidak kira usia atau latar belakang, untuk hadir dan menyaksikan persembahan yang pastinya akan memukau,” ujar Dato’ Fadzli.
Konsert ini dijangka menjadi satu lagi kejayaan besar buat Orange International selepas kejayaan konsert-konsert terdahulu seperti Radja & Ella, Wali Band X Setia, dan Drama Band yang sold-out baru-baru ini. Pihak penganjur juga sentiasa mencari formula terbaik untuk menghiburkan rakyat Malaysia dengan persembahan muzik yang luar biasa.
Pembelian Tiket dan Maklumat Lanjut
Para peminat yang tidak sabar untuk menyaksikan konsert ini boleh mendapatkan tiket dengan harga yang berpatutan. Tiket-tiket boleh didapati melalui laman web rasmi di Ticket2u.com.my/sumandak atau dengan menghubungi talian hotline +6012-4949 267. Berikut adalah kategori tiket yang ditawarkan:
- VIP [Special Seating]: RM349
- Cat 1 [Normal Seating]: RM239
- Cat 2 [Free Standing]: RM139
- Cat 3 [Normal Seating]: RM259
- Cat 4 [Normal Seating]: RM159
- VIP Box: RM6999
Konsert ini bukan sahaja menjanjikan hiburan luar biasa, tetapi juga peluang untuk para peminat menyaksikan artis kesayangan mereka beraksi di pentas yang sama. Jangan lepaskan peluang ini untuk menjadi sebahagian daripada malam yang penuh dengan magis dan kenangan indah bersama barisan penyanyi berbakat dari Sabah.