KONSERT A JAZZ TRIBUTE TO MALAYSIAN SONGS: 14 MAC (SABTU), JAM 12.30 TENGAH MALAM DI TV2.
Keunikan serta keasyikan muzik jazz menyebabkan muzik ini semakin mendapat tempat di hati para peminat muzik dari pelbagai golongan lapisan masyarakat. Penglibatan generasi muda khususnya dalam memartabatkan muzik jazz ini seharusnya diberi pujian.
Sehubungan dengan itu, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan kerjasama Akademi Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) mempersembahkan Konsert A Jazz Tribute To Malaysian Songs yang akan ditayangkan menerusi saluran Dunia Ria tv2 pada hari Sabtu, 14 Mac 2009 jam 12.30 tengah malam. Konsert tersebut menampilkan Orkestra RTM sebagai pemuzik utama yang akan menerajui konsert yang bersiaran selama 2 jam.
Penganjuran konsert tersebut secara tidak langsung telah mengembalikan semula era kegemilangan Jazz Orkestra RTM serta para komposer muzik jazz sekitar tahun 60-an dan 70-an yang menjadi antara pelopor terawal muzik jazz tanahair seperti Alfonso Soliano, Tan Sri Ahmad Merican, Datuk Johari Salleh, Ooi Eow Jin, Allahyarhham Rahman Rahmat, Richard Hoon dan Jimmy Boyle. Tidak dilupakan, pelbagai karya agung ciptaan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee yang turut mendapat sentuhan muzik jazz.
Konsert Jazz Tribute to Malaysian Songs yang telah dijayakan oleh 18 pemuzik Orkestra RTM ini bertujuan untuk menegetengahkan bakat serta kehebatan para pemuzik ternama jazz tanahair di bawah pimpinan Pengarah Muzik RTM, Dato’ Mokhzani Ismail. Konsert yang berlangsung di Auditorium Perdana Angkasapuri turut memberi penghargaan kepada komposer tempatan dahulu sehingga kini yang memperjuangkan muzik jazz. Konsert ini juga turut mengundang 2 penyanyi wanita tempatan iaitu Syafinaz dan Dia Fadila yang terkenal dengan kehebatan vokal mereka dalam menyampaikan lagu berirama jazz dengan baik sekali.
Selain itu, konsert ini juga turut member peluang kepada pemuzik undangan seperti pemain flute Jepun, Keiko, pemain saxophone, JARI, pemain gitar, Sam Triggy yang menunjukkan kehebatan beliau bermain 2 gitar serentak dan juga turut menampilkan ASWARA Big Band. Tidak ketinggalan turut di selitkan segmen persembahan gabungan muzik alatan tradisional Malaysia seperti gamelan dan perkusi Malaysia bersama-sama pemuzik Orkestra RTM dalam muzik jazz.
Untuk memperkemaskan lagi perjalanan konsert, sebanyak 5 segmen telah disediakan iaitu segmen lagu-lagu rakyat, segmen karya P.Ramlee, segmen karya Jimmy Boyle, karya Alfonso Soliano dan akhir sekali karya lagu-lagu tanah air. Penonton pasti akan terpukau dengan kehebatan para pemuzik menyampaikan lagu-lagu terkini yang telah digubah menjadi muzik jazz.
Para penonton pasti akan terpukau dengan kehebatan para pemuzik Orkestra RTM dalam mempersembahkan muzik jazz yang dalam percubaan sulung mereka menyampaikan hiburan kepada para peminat jazz tempatan yang sememangnya menantikan program sedemikian.
Jangan ketinggalan untuk menyaksikan Konsert A Jazz Tribute To Malaysian Songs yang akan bersiaran pada hari Sabtu, 14 Mac 2009 pada pukul 12.30 tengah malam di tv2 saluran Dunia Ria.