Menariknya tentang single ini, ia sebenarnya telah dihasilkan sejak 10 tahun yang lalu dan merupakan lagu pertama yang dinyanyikan oleh mereka.
Menurut penyanyi utama HCJ Lukman yang mewakili kumpulannya, Sinarku memberi maksud yang sangat istimewa dan tentunya berbeza dalam kehidupan setiap antara mereka.
Single itu juga disulami dengan imaginasi tentang bagaimana ciri-ciri pasangan hidup yang dimahukan oleh seseorang.
“Saya ingin berkongsi sedikit sejarah tentang Sinarku. Lagu ini sebenarnya telah dibuat 10 tahun lalu dan merupakan lagu pertama yang didendangkan oleh kumpulan kami.
Sepanjang perjalanan kami sebagai sebuah kumpulan, lebih lagi sebagai sahabat, Sinarku telah memberi maksud dan pengalaman berlainan dalam kehidupan setiap antara kami.
“Kisah asal lagu ini ketika dibuat sepuluh tahun lalu, ia menceritakan tentang seorang yang kita suka atau ‘crush’ di mana kita tahu dia lah yang akan jadi pasangan kita, tapi pada masa sama terlalu risau untuk mendekatinya.
Bagaimanapun, jauh di sudut hati, kita pasti bahawa kehadiran gadis itu akan melengkapkan kehidupan,†katanya membuka bicara.
Bagaimanapun Lukman menambah, interpretasi HCJ terhadap Sinarku telah berkembang setelah melangkaui tempoh sepuluh tahun. Manakan tidak, satu dekad pertambahan usia tentunya memberi kesan dari segi kematangan fikiran.
“Sepanjang melalui tempoh 10 tahun, maksud lagu ini telah berkembang lebih lagi daripada apa yang kami interpretasikan ketika menghasilkannya.
Jika dahulu, ia lebih berkait dengan zaman percintaan di sekolah atau cinta monyet, namun setelah meningkat dewasa, kami memberi takrifan bahawa Sinarku lebih kepada perjalanan mencari pasangan sehidup semati dan kebahagiaan bercinta bersamanya.
“Dalam lagu ini juga kami bayangkan kegembiraan dan apa yang kita akan lakukan bersama teman sehidup semati walaupun kita belum jumpa siapa orangnya. Setiap orang mempunyai kriteria teman yang kita inginkan, dan setiap orang juga pernah bayangkan kasih sayang yang kita akan berikan dan terima bila kita telah menjumpai orang yang betul.
“Lagu ini juga memberi pengajaran kepada kita untuk menjadi berani dan yakin untuk mulakan langkah mendekati seseorang sebab dalam kehidupan, kadangkala perasaan kita tak mungkin menipu kita. Kalau kita rasa dialah orangnya, Insya-Allah ia boleh terjadi,†katanya lagi.
Dalam pada itu, Lukman juga berkongsi berkongsi tentang cabaran yang dihadapi HCJ sepanjang menghasikan single terbaru mereka itu.
Menurutnya, aspek penjiwaan telah dititikberatkan mengikut kesesuaian agar Sinarku menjadi lagu yang relevan.
“Antara cabaran yang kita lalui dalam Sinarku adalah untuk menjiwainya. Lagu ini telah kita dendangkan sejak 10 tahun yang lalu, jadi pelbagai versi telah terhasil.
Namun, secara kebetulan, Sinarku masih lagi relevan dengan kehidupan kami pada hari ini, cuma definisi ‘Sinarku’ itu sahaja yang semakin berkembang.
“Versi terkini ini adalah versi yang paling sempurna bagi kami, kerana dari segi melodi dan liriknya secukup rasa untuk disampaikan kepada pendengar.
Dalam tempoh melalui sepuluh tahun itu, kami telah bereksperimen dengan pelbagai versi melodi dan susunan hinggalah ia siap untuk dilancarkan.
“Selain itu, dengan bantuan Taja sebagai produser, kami diberi peluang untuk mencorakkan lagi kreativiti dalam rakaman lagu ini,†jelasnya.
Justeru, setiap anggota HCJ berharap agar Sinarku diterima baik oleh para pendengar dan mereka dapat merasakan penceritaan lagu tersebut.
“Kebahagiaan dalam kehidupan adalah bila kita tahu kita telah berjumpa seseorang yang betul sebagai pasangan hidup. Harapan kami semestinya untuk pendengar dapat merasakan perasaan yang sama seperti apa yang kami lalui dan rasai semasa menyanyikan lagu ini.
“Bagi kami, lagu ini signifikan dan dekat dengan pendengar yang juga dalam lingkungan umur seperti kami. Dalam fasa umur sebeginilah ada yang mula nak berkenalan, bercinta, berkahwin dan sebagainya. Lagu ini amat sesuai untuk situasi-situasi sebegitu, semoga ia dapat dijadikan inspirasi kerana cinta bukan hanya wujud dalam mimpi, cinta sempurna boleh jadi realiti kalau kita betul-betul inginkannya,†kata Lukman.
Sinarku boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih seperti Apple Music, Deezer, JOOX Music, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music
Kredit:
Artis: Here Comes July
Tajuk: Sinarku
Produser: Taja
Komposer: Danialluqman
Penulis Lirik: Danialluqman & Arfan Zainuddin