Setelah tampil manis bertudung labuh baru-baru ini, pelakon jelita Izara Aishah ada bertanyakan peminat mengenai di manakah dia boleh membeli khimar (tudung labuh) untuk dipakainya.
Izara atau nama sebenarnya Nik Izara Aishah Nik Izazurin bertanyakan soalan tersebut menerusi satu twit di laman media sosial Twitternya, kelmarin.
Dia turut mengucapkan terima kasih di atas doa-doa yang diterimanya setelah berhijrah itu.
Terdahulu, peminat memberi respon positif dengan perubahan menantu Datuk Seri Siti Nurhaliza itu yang turut memadam gambar-gamabar tidak bertudungnya di Instagram.
Menjengah ruangan komen, ramai netizen tampil mencadangkan jenama-jenama khimar yang dirasakan bersesuaian untuk pilihan isteri kepada Adib Khalid itu.
Meskipun Izara belum lagi memberi penjelasan mengenai status penghijrahannya itu, peminat seolah-olah mendapat bayangan bahawa pelakon filem J Revolusi itu kini sudah bertudung sepenuhnya.