ANUGERAH MTV Europe Music Awards (MTV EMA) 2023 yang dijadualkan berlangsung di Paris pada 5 November depan dibatalkan bagi menghormati situasi semasa di Gaza.
Penganjurnya, Paramount Global berkata dengan konflik peperangan yang berlaku di Gaza dan Israel penganjuran perayaan muzik tahunan itu pada masa ini bukan waktu sesuai.
Menerusi kenyataan sama, difahamkan penganjuran semula anugerah tersebut akan diadakan pada November tahun depan.
“Undian terus dibuka dan pemenang edisi kali ini tetap menerima trofi mereka. Kami berharap dapat jadi tuan rumah MTV EMA lagi pada November 2024,” katanya.
MTV EMA diadakan di bandaraya berbeza pada setiap tahun dan edisi 2022 berlangsung di Duesseldorf, Jerman. Kali pertama Perancis menjadi tuan rumah adalah pada 1995.
Awal bulan ini Paramount Global mengumumkan senarai lengkap pencalonan artis antarabangsa dalam kategori penghasilan video muzik terbaik sepanjang tahun.
Selepas menyapu bersih kemenangan tahun lalu, penyanyi Taylor Swift kembali menunjukkan taring apabila mengungguli pencalonan terbanyak dengan tujuh kategori menerusi lagu Anti-Hero.
Penyanyi Vampire, Olivia Rodrigo dan SZA masing-masing menyerlah dengan enam nominasi diekori rapat Bad Bunny, Foo Fighters, Thirty Seconds to Mars.
Calon lain termasuk bintang kpop yang juga anggota kumpulan sensasi, BTS yang turut disenaraikan membuat persembahan.
Sementara itu, Perancis yang memiliki komuniti Muslim dan Yahudi yang ramai mengetatkan kawalan keselamatan selepas serangan Hamas terhadap Israel pada 7 Oktober lalu.
Rabu lalu pihak berkuasa memberi peringatan kepada lapan pengendali lapangan terbang di negara itu supaya mempertingkatkan pemeriksaan.