KONFLIK CINTA REMAJA DALAM TES CINTA ALA LILA PADA 26 JULAI 2009, JAM 10.30 MALAM DI TV2
Filem-filem mengetengahkan plot percintaan seringkali menjadi pilihan remaja yang sememangnya berdepan situasi sama dalam kehidupan realiti mereka. Berdepan dengan situasi pahit manis dalam hubungan cinta seolah lumrah dalam meniti kehidupan bergelar sepasang kekasih.
Namun berbeza dengan nasib yang menimpa gadis cantik bernama Lila yang dibawakan wataknya oleh Putri Titian bergandingan dengan Stuart Collin sebagai Nara dan Nimaz Dewantary mendukung watak Tessa menerusi filem remaja Indonesia, Tes Cinta Ala Lila pada 26 Julai 2009, jam 10.30 malam mengisi slot Sinema Ahad @ 2 di TV2.
Lila memang mempunyai masalah besar kerana dia sangat mudah jatuh cinta. Namun begitu, walaupun Lila mudah jatuh cinta, Lila merasa takdir benar-benar tidak adil pada dirinya. Malahan, Lila merasa dirinya adalah perempuan paling malang didunia. Ini adalah kerana selama setahun ini, sudah lapan kali dia ditinggalkan oleh kekasihnya. Dan semuanya terjadi kerana kekasih Lila jatuh cinta dengan perempuan lain. Lila sangat tertekan dengan keadaan ini.
Ketika Lila diputuskan oleh kekasihnya yang ke sembilan, Lila benar-benar tidak dapat bertahan lagi. Dia kini tidak percaya dengan lelaki-lelaki lagi. Ternyata niat Lila untuk menjauhkan diri dengan lelaki benar-benar terlaksana. Esok harinya, penampilan Lila yang selalu ceria dan ramah, telah berubah sama sekali. Dia menjadi seorang perempuan yang sangat kasar, kata-kata dan kelakuannya turut berubah menjadi kasar.
Kelakuan Lila yang kasar itu, tidak hanya pada lelaki remaja sahaja. Malah guru-guru lelaki disekolahnya turut menjadi korban kekasaran Lila. Lila tidak menghormati gurunya lagi. Ini semua adalah kerana Lila telah trauma dengan lelaki-lelaki dan tidak ingin jatuh cinta lagi.
Lila dan teman-temannya mengambil keputusan untuk menyertai kumpulan teater. Dugaan pertama buat Lila apabila guru teaternya memiliki wajah yang sangat tampan, dan namanya Nara. Nara masih muda dan juga masih belajar di semester tiga. Nara menjadi idaman semua wanita-wanita didalam kumpulan teater tersebut. Pada awalnya Lila tidak menghiraukan Nara yang sentiasa memerhatikan Lila, tetapi selama mana Lila mampu bertahan untuk tidak tertarik pada Nara?
Teman-teman Lila telah puas memujuk Lila untuk menerima cinta Nara, tetapi Lila tetap nekad dengan keputusannya. Lila tidak mempedulikan pujuk rayu Nara. Sehingga akhirnya, pintu hati Lila terbuka untuk menerima cinta Nara, kerana sesungguhnya Lila memang menyukai Nara dalam diam.
Namun, hati Lila sentiasa mencurigai kesetiaan Nara. Lila bimbang jika Nara juga sama seperti bekas-bekas teman lelakinya yang telah curang dengannya dahulu. Setiap malam Lila bermimpi yang Nara mempunyai kekasih lain. Lila tidak tahan sentiasa bermimpi buruk tentang Nara, maka beliau mengambil keputusan untuk menguji cinta dan kesetiaan Nara terhadapnya.
Teman-temannya tidak bersetuju dengan keputusan Lila itu. Kenapa mesti ingin menguji Nara sedangkan sudah terbukti bahawa Nara memang setia dengan Lila? Namun Lila tidak peduli, dia tetap ingin teruskan niatnya itu. Peluang muncul apabila ibu bapa Lila terpaksa berpindah ke Afrika atas urusan kerja dan kesempatan ini digunakan oleh Lila untuk menguji Nara. Maka Lila pun memberitahu Nara bahawa dia akan berpindah mengikut orang tuanya ke Afrika. Nara terkejut dengan berita yang disampaikan oleh Lila, namun Nara meyakinkan Lila yang dia akan tetap menunggu kepulangan Lila.
Justeru kepada remaja-remaja yang ingin berkongsi masalah seperti dilalui Lila, usah ketinggalan malam minggu ini menyaksikan Tes Cinta Ala Lila pada 26 Julai 2009, jam 10.30 malam di TV2.