Menurut laporan Harian Metro perceraian itu direkodkan di hadapan Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin selepas mahkamah menerima permohonan pengesahan lafaz cerai yang difailkan Fauzi selaku plaintif.
Fauzi yang diwakili peguam syarie Zulkifli Che Yong membuat permohonan itu mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003. Terdahulu, ketika menjawab soalan mahkamah, komposer itu memberitahu lafaz cerai itu merupakan kali pertama dia lafazkan terhadap isterinya.
Selain itu, Fauzi berkata dia melafazkan ‘ Mulai hari ini saya Fauzi Marzuki menceraikan Hashimah Ramli dengan talak satu’ dengan disaksikan kakak iparnya dan seorang rakan di kediaman pasangan itu di Bukit Antarabangsa.
Selepas mendengar keterangan kedua-dua pihak, mahkamah mensabitkan jatuh talak satu raj’ie dan memerintahkan Hashimah menjalani edah tiga kali suci.