in , ,

Komedi Menghiburkan Dalam CHE SALMAH BINTANG RADIO

Bagaimanakah perasaan anda sekiranya impian hidup yang tidak kesampaian sebelum ini berjaya direalisasikan? Apakah anda akan terus hidup dalam lakonan atau kembali berdepan realiti yang tidak seindah diharapkan?

Menampilkan gandingan pelakon Anas Ridzuan, Chacha Maembong, Dian P.Ramlee, Fathul Wafi dan Fathil Dani, Radio Televisyen Malaysia (RTM) membawakan drama bersiri “Che Salmah Bintang Radio” arahan Fairuz Loy, sedang bersiaran setiap Isnin hingga Rabu, pukul 3.00 petang menerusi saluran TV2.

di TV2 Che salmah bintang radio

Ceritanya berkisar tentang Che Salmah yang tinggal dengan anak tunggalnya Azhar, menantunya Amyza, dan dua cucunya Anas dan Aisya. Pergolakan keluarga bermula apabila Che Salmah sering memarahi Amyza seolah-olah membencinya. Amyza yang menghidapi sakit hipertensi akhirnya jatuh sakit dan terlantar di hospital. Azhar menegur sikap ibunya dan mencadangkan agar ibunya tinggal di rumah orang-orang tua buat sementara waktu.

Che Salmah mengambil keputusan meninggalkan rumah itu dan di pertengahan jalan dia telah didatangi oleh seorang lelaki tua yang memberikannya sejenis jamu untuk menenangkan hatinya dan boleh menjadi cantik. Setelah meminum jamu tersebut dengan tiba-tiba Che Salmah pengsan dan apabila dia sedar, dia sudah menjadi seorang perempuan yang cantik.

Che Salmah Bintang radio

Kini Che Salmah menjelma menjadi seorang wanita cantik menghadapi kerenah anak-anak muda yang mengganggunya kerana kecantikannya. Che Salmah terus berjalan dan terus berangan-angan untuk menjadi seorang penyanyi yang hebat yang pernah diimpikannya tetapi hajat itu tidak pernah kesampaian. 

Dalam masa yang sama, Azhar dan anak-anaknya mencari Che Salmah yang telah hilang daripada rumah. Keinginannya menjadi penyanyi terus bergolak, lantas apabila melintasi sebuah pusat karaoke, Che Salmah terpanggil untuk menyanyi di situ. 

Kecantikan dan kemerduan suaranya telah memikat ramai orang. Anas dan kawan-kawannya yang sedang mencari neneknya juga turut teruja mendengar suara merdu dan keayuan wajah Che Salmah terus masuk ke pusat karaoke itu.

Apabila Che Salmah melihat Anas, dia terus berlari ke belakang tempat itu dan tiba-tiba Che Salmah amat terkejut apabila terserempak dengan Anas cucunya. Anas tidak menyedari bahawa perempuan itu adalah neneknya, tetapi Che Salmah mengetahui bahawa Anas adalah cucunya. Namun, hal ini terus menjadi rahsia.

Anas tawarkan Che Salmah sebagai penyanyi kugirannya. Che Salmah menyamar sebagai Sally dan menyewa rumah milik Pak Ali. Apabila melihat Sally, Pak Ali teringat akan Che Salmah kawannya semasa muda dahulu. Pada masa yang sama Azhar dan isterinya amat gusar kerana ibunya yang hilang masih belum ditemui lagi. Che Salmah pula muncul tiba-tiba dengan penampilan seorang wanita cantik dan bersuara merdu diterima untuk menjadi penyanyi kumpulan muzik yang diketuai oleh Anas cucunya.

pelakon dalam Che Salmah Bintang radio

Selepas habis latihan menyanyi, Anas menjemput Sally makan malam di rumahnya. Perangai Sally agak pelik kerana Sally bersikap seolah-olah dia ialah Che Salmah dan apabila dia tersedar, dia terus mengubah perangainya menjadi seperti Sally semula. Hal ini amat menghairankan keluarga Anas temasuk ayahnya Azhar. Azhar pula berasa amat sedih atas kehilangan ibunya dan isterinya Amyza juga berasa amat bersalah menyebabkan ibu mertuanya menghilangkan diri. Hubungan anatara Azhar dan Amyza menjadi dingin.

Pak Ali curiga dengan tingkahlaku Sally. Sally rindu anak dan cucunya namun terpaksa bertahan kerana identitinya yang barunya itu. Anas dan ahli kumpulan muziknya juga curiga kerana Sally agak kolot dan tidak mempunyai telefon pintar. 

Tembelang Sally pecah bila Pak Ali perasan Sally memakai rantai sama dengan Che Salmah. Pak Ali menyelongkar bilik Sally dan terjumpa cermin mata Che Samah di dalam sebuah beg pakaian Sally. Che Salmah terpaksa berterus-terang dengan kejadian yang dialaminya hingga membuatkan dirinya terus menyamar sebagai Sally.

Che Salmah terus menjadi penyanyi dalam kumpulan muzik Anas dan menyewa bilik di rumah Pak Ali. Sementara itu, Azhar sekeluarga yang gagal mencari Che Salmah sangat bersedih dan menyesal kerana telah menghalau ibunya keluar daripada rumahnya dulu. Seorang komposer, Ahmad menawarkan Che Salmah menyertai syarikat rakamannya.

Pada suatu petang Amyza datang ke rumah Pak Ali dan cuba menyelidik tentang ibu mertuanya. Pada suatu malam Salmah terpijak kaca dan kakinya berdarah. Pak Ali datang membantunya. Kaki Sally yang terluka dan berdarah akibat terkena kaca menjadi berkedut-kedut. Pak Ali dan Sally amat risau dan cuba mencari orang tua yang memberikan jamu dulu di Chow kit Road. Malangnya mereka gagal. Kaki Sally terpaksa dibalut untuk menyembunyikannya. 

Dalam pada itu Azhar dan Amyza cuba menyiasat tentang bil kad kredit yang digunakan atas nama Che Salmah dan bertanyakan hal ini kepada Pak Ali. Kebetulan pada waktu itu Sally ada bersama. Melalui gelagat Sally, Azhar dan Amyza mengesyaki sesuatu tentang Sally. Amyza dan Azhar berasa hairan dan curiga tentang penampilan Sally yang cantik itu. Dalam masa yang sama Karisma Records mempunyai harapan yang sangat tinggi akan kemampuan Sally sebagai penyanyi yang hebat untuk memajukan syarikatnya.

Adakah Che Salmah dapat mencari penawar mengubah kembali identiti dirinya? Ikuti kesudahannya di TV2.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Tip Hidangan Berkhasiat Dengan Bajet Kecil Dalam Program SAVE MONEY GOOD FOOD

Dugaan Jaga Anak Angkat Berbeza Bangsa Dalam 13 Episod KELUARGA K.A.M.I.L