Tidak lengkap hari raya tanpa gelak tawa dan riang gembira menonton rancangan yang disediakan oleh stesen-stesen penyiaran tanahair. Stesen RTM terutamanya yang terkenal dengan senarai telemovie terbaik tahun ini menyenaraikan beberapa telemovie komedi buat tontonan sepanjang Syawal.
TV2 dengan slogan Ria Raya kali ini membawa komedi berjudul Menantu Raya yang bakal menemui penonton pada 11 September 2010 (Hari Raya Kedua), jam 6.00 petang. Komedi bersempena Aidilfitri ini bukan sahaja mencuit hati malah turut memaparkan mesej-mesej yang berunsurkan kekeluargaan dibintangi oleh Zaibo, Maimon Talib, Siti Fazurina, Kencana Dewi dan Corrie.
Telemovie Menantu Raya mengisahkan tentang Lisa yang pulang ke Malaysia untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga setelah melanjutkan pelajaran di luar negara. Berita kepulangan Lisa disambut gembira oleh ibu bapanya yang telah lama berpisah iaitu Din dan Leha. Justeru dengan perasaan gembira mereka berdua bersama-sama menunggu kepulangan Lisa di lapangan terbang.
Akibat daripada sikap Din dan Leha yang masih tidak sehaluan menambahkan lagi keruhnya keaddan semasa menanti Lisa. Tambahan lagi, kehadiran Ghani suami baru kepada Leha yang memegang jawatan Pengurus Besar yang sebelum ini dipegang oleh Din.
Kegembiraan terpancar di wajah kedua-dua mereka apabila melihat, Lisa yang baru tiba bersama teman lelakinya berbangsa Cina Muslim. Alangkah terkejut Din dan Leha apabila melihat perubahan positif pada anak perempuan mereka yang telah mula mengenakan tudung dan kelihatan sopan. Masakan tidak kerana sebelumnya Lisa seorang yang sosial dan terkenal dengan koleksi teman-teman lelakinya malah gemar berpakaian seksi dan menjolok mata.
Penampilan baru Lisa amat mengejutkan Leha, Din dan Ghani. Kisah lucu bermula apabila Lisa tidak mengetahui tentang perpisahan Leha dan Din lalu mereka bersepakat untuk merahsiakannya daripada Lisa. Ghani pula diperkenalkan oleh mereka sebagai pemandu. Ghani yang tidak menyenangi akan rancangan itu terpaksa akur menurut perintah isterinya, Leha.
Semasa di rumah, Lisa merasa hairan melihat kemesraan hubungan di antara ibu bapanya dan ’pemandu’ mereka Ghani. Ghani yang agak rapat dengan Leha semasa di rumah mula menimbulkan tanda tanya buat Lisa yang akhirnya mula mendesak dan mendapat tahu tentang hal yang sebenarnya. Walaupun terkejut namun Lisa menghormati keputusan kedua orang tuanya.
Pelbagai insiden berlaku sehingga menyedarkan, Din bahawa dia masih menyukai Leha namun tidak dapat berbuat apa-apa kerana Leha sudahpun berkahwin dengan Ghani. Pelbagai cara dilakukan oleh Din untuk menambat semula hati Leha. Namun, berjayakah Din menambat hati Leha kembali? Saksikan kisah yang mencuit hati ini di TV2.